Sunday, July 19, 2026

Industri perikanan tangkapan marin negara catat peningkatan

Merekodkan 1.39 juta tan metrik pada tahun lalu berbanding 1.27 juta tan metrik pada tahun sebelumnya.

Mesti Baca

INDUSTRI perikanan tangkapan marin negara menunjukkan peningkatan positif apabila merekodkan 1.39 juta tan metrik pada tahun lalu berbanding 1.27 juta tan metrik pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, antara negeri penyumbang utama ialah Perak yang kekal sebagai negeri tertinggi dengan pendaratan sebanyak 434,349 tan metrik diikuti Sabah (201,812 tan metrik), Selangor (163,732 tan metrik) dan Pahang sebanyak 144,651 tan metrik.

Beliau berkata, kejayaan negeri-negeri itu menunjukkan potensi sumber perikanan marin masih tinggi serta menegaskan bahawa kerjasama di peringkat negeri memainkan peranan penting dalam menyokong pemulihan nasional.

“Pencapaian ini menggambarkan kejayaan strategi pengurusan sumber berasaskan sains serta penglibatan aktif komuniti nelayan. Peningkatan pendaratan dan kadar sara diri negara adalah bukti bahawa industri perikanan kita semakin pulih.

“Inisiatif seperti program tukun tiruan, kajian stok ikan, serta pengukuhan infrastruktur pendaratan moden telah memberi hasil yang nyata. Jabatan Perikanan akan terus melaksanakan langkah-langkah mampan bagi memastikan bekalan ikan negara sentiasa mencukupi, berkualiti dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi negeri Pantai Timur, Adnan berkata, Kelantan dan Terengganu merekodkan pendaratan masing-masing 58,115 tan metrik dan 39,657 tan metrik pada tahun 2024.

Jelas beliau, walaupun sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, jumlah tersebut masih lebih baik jika dibandingkan dengan tahun 2022, membuktikan sektor perikanan di Pantai Timur tetap berdaya tahan walaupun berdepan cabaran pasaran dan faktor cuaca.

Sementara itu, beliau berkata, Selangor dan Pulau Pinang pula mencatatkan peningkatan konsisten dan positif sepanjang tempoh pemulihan, sekali gus menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan hasil pendaratan perikanan negara.

“Kejayaan ini turut didorong oleh pelaksanaan Program Pemuliharaan Sumber di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025). Sepanjang tempoh ini, sebanyak 1,174 unit tukun tiruan telah berjaya dilabuhkan di seluruh negara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20 juta.

“Projek ini telah memberi kesan positif kepada ekosistem marin, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan dan keseimbangan biodiversiti laut,” kata beliau.

Katanya, kesan positif jelas ditunjukkan melalui peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) perikanan negara kepada 91.6 peratus pada tahun 2024, manakala SSR bagi 15 spesies utama turut meningkat daripada 91.9 peratus kepada 93.3 peratus.

Antara spesies yang mencatatkan peningkatan ketara ialah ikan bawal (66.3 peratus kepada 78.0 peratus), ikan merah (93.3 peratus kepada 98.9 peratus), dan ikan kembung yang terus menunjukkan pertumbuhan kukuh.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa pengeluaran domestik bukan
sahaja pulih dari segi jumlah, tetapi turut tertumpu kepada spesies bernilai tinggi dan mendapat permintaan tinggi daripada pengguna,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan