26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Pepper Labs lancar Dapur Digital pacu ekonomi penduduk PPR

Mesti Baca

PEPPER Labs melancarkan inisiatif dapur digital untuk menyokong usahawan mikro wanita B40 dengan kemahiran kulinari melalui latihan praktikal.

Sebagai rakan kongsi kepada pihak swasta dan awam, Pepper Labs bekerjasama dengan Kementerian Kewangan sebagai penaja utama, serta disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Yayasan Hasanah untuk menubuhkan inisiatif Dapur Digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Pepper Labs, Gevi Ananda Roe berkata, Dapur Digital adalah usaha terbaharu dalam pelbagai program yang bertujuan memacu transformasi sosial bagi komuniti terpinggir melalui pemerkasaan ekonomi mampan dan pertumbuhan inklusif.

Beliau berkata, inisiatif itu diwujudkan untuk memperkasakan usahawan mikro wanita dalam kalangan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, memberikan mereka akses kepada lima dapur digital lengkap yang disediakan khas untuk tujuan ini.

“Model ini mengambil inspirasi daripada perkembangan pesat konsep dapur digital dalam industri F&B masa kini – menawarkan penjimatan kos operasi dan sewa, sambil memanfaatkan pertumbuhan pesat dalam permintaan penghantaran dalam talian.

“Unit PPR yang kosong dan kurang digunakan telah dikenal pasti dan diubah suai menjadi dapur komersial melalui kerja pengubahsuaian dan pemasangan peralatan terkini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelancaran Dapur Digital dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Advertisements

Beliau berkata, program tersebut bertujuan melatih wanita daripada komuniti kurang berkemampuan bukan sahaja untuk mempertajam kemahiran dan mengasah bakat dalam bidang kulinari, tetapi juga untuk memberi bimbingan menyeluruh dalam pelbagai aspek pengendalian dan pengurusan perniagaan makanan.

Katanya, dari pembangunan produk sehingga pemasaran digital, peserta akan dibimbing dalam memanfaatkan teknologi dan platform dalam talian secara strategik.

Selain itu, jelas beliau, model itu turut mendorong pendekatan sinergi dengan kerajaan dalam menyelaraskan program pemerkasaan ekonomi melalui ekosistem yang dibangunkan bersama Pepper Labs.

“Inisiatif ini bukan sahaja melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan melalui program latihan komprehensif kami, tetapi juga menyediakan laluan jelas menuju kebebasan kewangan selepas tamat latihan.

“Ini membolehkan mereka terus maju dan berkembang sebagai usahawan berjaya dalam ekonomi makanan digital,” jelas beliau.

Gevi berkata, pihaknya menjangkakan dapat menjana pulangan ekonomi kira-kira RM1.2 juta dalam tempoh dua tahun melalui manfaat digital daripada lima dapur digital kolektif tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan