26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Vsure Tech menang dana cabaran inovasi insurans Generali-UNDP

Mesti Baca

GENERALI dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mengumumkan Vsure Tech Sdn Bhd sebagai pemenang Dana Cabaran Inovasi Insurans (IICF), sebuah inisiatif yang direka untuk memberikan insentif kepada pembangunan produk dan perkhidmatan insurans yang inovatif di Malaysia.

Vsure Tech telah dipilih daripada lima penyelesaian yang dibentangkan pada bulan Mac lalu di Kuala Lumpur dalam program yang dianjurkan oleh Generali dan UNDP. 

Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad, Fabrice Benard berkata, IICTF mengutamakan visi untuk membina ketahanan dalam kalangan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

“Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) membentuk 97.4 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia. 

“Kami memainkan peranan yang penting dalam memacu keterangkuman kewangan, di samping memupuk budaya inovasi dan kelestarian bagi menjamin masa depan perusahaan mereka. 

“Bersama-sama UNDP, kami ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas idea-idea inovatif mereka,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Vsure Group, Eddy Wong berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberikan peluang bekerjasama melaksanakan inisiatif yang sangat berkesan ini.

Advertisements

Katanya, peluang tersebut sekali gus dapat memperkasakan PKS dan PMKS demi membina daya ketahanan kewangan yang lebih kukuh di samping menggalakkan celik kewangan yang penting.

Vsure Tech merupakan peneraju dalam teknologi insurans (Insurtech) dan Pasaran Insurans Digital, yang mencipta penyelesaian untuk meningkatkan perlindungan dan ketahanan terhadap risiko dalam kalangan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di Malaysia melalui model perniagaan risiko bersama P2P (rakan-ke-rakan). 

Dengan kejayaan itu, Vsure Tech dianugerahkan sokongan kewangan bernilai AS$40,000 (RM176,000) daripada UNDP, di samping bantuan teknikal bagi mengembangkan lagi penyelesaian inovatif mereka.

Untuk rekod IICF diwujudkan untuk mengenal pasti penyelesaian inovatif yang fokus pada pencegahan risiko, pendidikan kewangan, dan perlindungan. 

Matlamatnya adalah untuk melengkapi tawaran insurans dengan strategi yang memperbaik pengagihan dan akses kepada perkhidmatan asas untuk komuniti sasaran, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Inisiatif ini dibina melalui kerjasama antara Generali dengan Fasiliti Insurans dan Kewangan Risiko UNDP, yang bertujuan untuk mengurangkan jurang perlindungan bagi komuniti rentan dengan meningkatkan akses kepada insurans. 

Inisiatif ini juga menekankan komitmen untuk memupuk kesedaran dan mempromosikan peranan insurans dalam memperkukuh keselamatan, kemampanan, dan ketahanan, khususnya bagi PKS di negara-negara membangun. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan