NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu menggantikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatannya bulan lalu.
Pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dibuat dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) PN di ibu pejabat Pas di Kuala Lumpur petang tadi.
Sementara itu peletakan jawatan Muhyiddin pada 1 Januari lalu telah diterima oleh MT namun dipilih semula sebagai Timbalan Presiden.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemilihan Ahmad Samsuri berdasarkan pengalaman beliau menerajui Terengganu selama dua penggal.
“Beliau telah menunjukkan satu prestasi yang cukup baik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan juga Pilihan Raya Negeri di Terengganu dengan memenangi semua kerusi atas tiket PN.
“Jadi itu antara beberapa kriteria kenapa Ahmad Samsuri dipilih untuk menerajui Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” katanya selepas mesyuarat tersebut.

Mesyuarat berkenaan dihadiri semua ahli MPT PN termasuk empat Presiden parti komponen termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau( Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan selain Muhyiddin sendiri.
Menurut Takiyuddin, pelantikan Ahmad Samsuri dibuat selepas mengambil kira aspek perlembagaan PN yang tidak menetapkan jawatan Pengerusi mesti disandang oleh Presiden atau Timbalan Presiden parti.
Sebaliknya, kata beliau, perlembagaan parti membenarkan mana-mana individu dalam PN dipilih oleh MT.
Pelantikan beliau turut dipersetujui secara sebulat suara oleh semua ahli Parlimen PN selepas dicalonkan oleh Presiden Pas.
Tambah Takiyuddin, mesyuarat turut menyentuh cadangan penambahbaikan Perlembagaan PN, yang akan dibincangkan secara lanjut dalam mesyuarat akan datang bagi memperkukuh kesiapsiagaan PN menghadapi pilihan raya umum dan negeri.
Difahamkan, Ahmad Samsuri tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana bukan lagi ahli MT selepas melepaskan jawatan Bendahari pada Disember 2024.
Bagaimanapun, pihak sekretariat akan memaklumkan pelantikan itu secara rasmi kepada beliau.
Mesyuarat turut memutuskan perkara-perkara lain, termasuk pelantikan ahli MT PN yang baharu akan diputuskan dalam mesyuarat seterusnya selepas Pengerusi baharu memulakan tugas.

