GEMPA bumi kuat dengan magnitud 6.8 melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam tadi namun tidak membawa sebarang ancaman tsunami.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pagi ini berkata, pusat gempa itu terletak pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur, dengan kedalaman 678 kilometer (km).
“Pusat gempa bumi berada pada jarak 49 km ke Barat dari Kudat, Sabah.
“Gegaran dirasai di Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” menurut kenyataan itu.
MetMalaysia turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan itu dari semasa ke semasa.
Jabatan itu juga memohon orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan supaya menyalurkan maklumat dengan mengisi borang soal selidik di pautan https://forms.gle/bRkJBUqLEPAf8KVw9.
Difahamkan gegaran dilapor turut dirasai di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan beberapa daerah lain di Pantai Barat, selain turut dirasai di beberapa kawasan di Sarawak.

