Tuesday, July 21, 2026

Kerajaan tidak rayu pemberian 40 peratus hasil Sabah – AGC

Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

Mesti Baca

KERAJAAN Persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sepertimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil. 

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” kata AGC dalam kenyataan selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri hari ini.

AGC berkata, pada mesyuarat sama, Peguam Negara telah memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.

Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan. 

“Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 1974,” katanya.

Selain itu, kata AGC, Alasan Penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.

“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan