TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat negara ini agar tidak memandang ringan terhadap isu keselamatan jalan raya.
Ini kerana, menurut beliau, pada masa kini secara purata 18 nyawa rakyat negara ini terkorban setiap hari akibat kemalangan jalan raya dengan hampir separuh daripadanya melibatkan golongan muda yang sedang membina masa depan.
Beliau berkata, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan kisah hidup yang terhenti secara tiba-tiba.
“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi tentang kisah kehidupan yang terhenti: tentang keluarga, impian dan masa depan yang sepatutnya masih panjang. Maka, setiap tindakan kita hari ini adalah ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa pada hari esok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Keselamatan Jalan Raya 2025 di Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Menurut Ahmad Zahid, keselamatan jalan raya tidak harus digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru, majikan, komuniti dan industri.
“Apabila semua berganding bahu, kita bukan sekadar menegakkan undang-undang, tetapi membina budaya yang menghargai kehidupan,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa generasi muda perlu dilibatkan secara lebih aktif sebagai rakan perjuangan dalam usaha membina budaya pemanduan selamat.
Katanya, pendekatan baharu seperti penggunaan teknologi, platform digital serta kempen yang dipimpin oleh anak muda sendiri mampu menjadikan mesej keselamatan lebih dekat dan meresap ke jiwa golongan tersebut.
Ahmad Zahid berharap kongres berkenaan menjadi titik permulaan kepada gerakan nasional yang lebih berani dan berkesan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.
“Insya-Allah, kita mahu Malaysia bukan sahaja memiliki jalan yang baik, tetapi juga rakyat yang berdisiplin, berhemah dan menghargai setiap nyawa di jalan raya,” katanya. – Edisi 9

