PASUKAN Petugas Khas (PPK) Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) komited untuk menyelesaikan siasatan berkaitan isu tujuh pemain warisan skuad kebangsaan yang digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam tempoh tiga bulan.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas EAIC, Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham berkata, ini selaras dengan mandat yang diberikan suruhanjaya itu di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Beliau berkata, PPK EAIC turut menetapkan Terma Rujukan (Terms of Reference – TOR) bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan berintegriti.
“Pasukan Petugas Khas EAIC akan meneliti secara mendalam aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Prasad yang juga Timbalan Pengerusi EAIC hari ini mempengerusikan mesyuarat PPK bagi siasatan ke atas dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam proses kewarganegaraan tujuh pemain warisan Malaysia.
Turut hadir, ahli-ahli PPK EAIC iaitu Datuk Ong Lam Kiat dan Datuk Siti Zainab Omar serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC.
Sementara itu, Prasad berkata, mesyuarat telah memutuskan Datuk Seri Dr. Yusof Ismail digugurkan sebagai ahli PPK EAIC tersebut mengambil kira potensi konflik kepentingan dengan kedudukannya sebagai Ahli Jawatankuasa Siasatan Bebas oleh
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebelum ini, EAIC menubuhkan PPK bagi menyiasat isu berkaitan dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) proses kewarganegaraan tujuh pemain warisan bola sepak kebangsaan.
Menurut EAIC, penubuhan pasukan tersebut selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] berkaitan isu membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan siasatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Suruhanjaya itu berkata, pasukan pertugas itu akan diketuai oleh Timbalan Presiden EAIC, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham bersama ahli-ahli suruhanjaya iaitu Datuk Siti Zainab Omar, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail dan Datuk Ong Lam Kiat serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC.
Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum itu menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain warisannya dan mengekalkan hukuman yang telah dikenakan.
Dengan keputusan itu, FAM diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala setiap pemain diperintahkan membayar denda sebanyak CHF2,000 (RM10,400) kepada FIFA.
“Kesemua pemain tersebut turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak,” kata FIFA menerusi laman web rasminya hari ini.
Tujuh pemain warisan terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Pada 9 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya meluluskan permohonan tujuh pemain daripada FAM untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi.
Beliau berkata, kelulusan itu dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, dengan syarat seperti tempoh mastautin, kelakuan baik dan penguasaan bahasa Melayu dipenuhi.
Saifuddin berkata, ia termasuk dalam senarai 23 pemain yang pernah diluluskan sepanjang perkhidmatannya. – Edisi 9

