Tuesday, July 21, 2026

Tingkat CPI: Pelan tindakan ‘focus group’ penguatkuasaan ditubuh

Pelan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) melalui FG itu bagi meningkatkan kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI. 

Mesti Baca

PELAN Tindakan Kumpulan Fokus (FG) Penguatkuasaan ditubuhkan bagi memperkukuh usaha penambahbaikan integriti dan keberkesanan penguatkuasaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Asliza Ali berkata, pelan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) melalui FG itu bagi meningkatkan kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI. 

Beliau berkata, pelan tindakan tersebut menghimpunkan strategi, inisiatif dan tindakan utama dengan tumpuan kepada pengukuhan integriti, ketelusan, akauntabiliti serta pemantapan kecekapan operasi penguatkuasaan.

“Pelan tindakan ini merupakan roadmap strategik yang menekankan pendekatan bersepadu berasaskan data dalam melaksanakan reformasi penguatkuasaan, sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus yang baik dan meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi Bengkel Penyediaan Pelan Tindakan FG Penguatkuasaan di Putrajaya yang bermula semalam dan berakhir hari ini.

Bengkel tersebut melibatkan pegawai-pegawai kanan 12 agensi penguatkuasaan.

Mereka  terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Turut terlibat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). 

Asliza berkata, bengkel tersebut bertujuan memperhalusi rangka tindakan serta cadangan inisiatif yang akan dimuktamadkan sebagai pelaksanaan.

Semasa Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 3 Oktober tahun lalu, mereka telah menubuhkan enam FG bagi melaksanakan tindakan penambahbaikan CPI di negara ini.

Mereka diterajui oleh EAIC Kementerian Kewangan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU, JPM) dan Kementerian Komunikasi. 

Inisiatif tersebut sejajar dengan komitmen Perdana Menteri seperti yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Di bawah RMK-12, kerajaan mensasarkan Malaysia berada di kelompok 25 negara terbaik dunia dalam penarafan CPI bagi tempoh 10 tahun akan datang (2023 – 2033). — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan