Tuesday, July 21, 2026

OIC dan dinamika isu global, antara tanggungjawab dan realiti

Organisasi ini juga merupakan platform rasmi untuk negara-negara anggota menyuarakan pendapat mereka berkaitan isu-isu yang berlegar di seluruh dunia. 

Mesti Baca

OIC ialah singkatan bagi Organisation of Islamic Cooperation atau Pertubuhan Kerjasama Islam iaitu organisasi kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Organisasi ini dianggotai oleh 57 buah negara Islam yang mewakili lebih daripada 2 bilion umat Islam di seluruh dunia. 

Negara-negara ini bersatu tenaga dan suara untuk melindungikepentingan dan memastikan kemajuan serta kebajikan umatIslam di seluruh dunia.

OIC ditubuhkan di Rabat, Maghribi pada 25 September 1969 melalui persidangan pertamanya pada 22 hingga 25 September 1969 untuk membincangkan strategi ummah berikut pembakaran Masjidil Al-Aqsa di Baitulmaqdis. 

Pada awalnya, OIC membawa maksud Pertubuhan Persidangan Islam sebelum ditukar kepada Pertubuhan Kerjasama Islam pada 28 Jun 2011. Bahasa rasmi organisasi ini adalah bahasa Arab, Inggeris dan Perancis. 

Matlamat utama OIC ialah meningkatkan solidariti dan perpaduan dalam kalangan negara anggota serta mempertahankan kepentingan dan hak-hak umat Islam.

Peranan OIC dalam menangani isu global umat islam

Di saat dunia sedang menyaksikan pelbagai pergolakan yang berlaku di negara-negara Islam, Adakah OIC berdiam diri dan senyap sahaja? 

OIC mempunyai peranan yang penting dalam politik dan diplomasi bagi negara-negara Islam.

Organisasi ini juga merupakan platform rasmi untuk negara-negara anggota menyuarakan pendapat mereka berkaitan isu-isu yang berlegar di seluruh dunia. 

Hal ini tidak terkecualikan isu berkaitan Palestin, malah kalau kita dapat lihat sekarang juga terdapat pembunuhan dan pembantaian ramai-ramai yang berlaku di Sudan. 

Melalui persidangan dan mesyuarat luar biasa, OIC berupaya dalam membawa suara kolektif umat Islam ke forum antarabangsa termasuk di PBB.

Contoh pertama yang kita boleh lihat adalah semasa Global Sumud Flotilla, terdapat ratusan mujahid yang berlayar menuju ke Palestin telah ditangkap sebagai tahanan oleh rejim Zionis. 

Hal ini telah menyebabkan PBB dan OIC mengutuk tindakan jenayah berkenaan dan mendesak Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa. 

Selain itu, OIC juga mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pendudukan Israel di Beit Lahiya, utara Semenanjung Gaza, yang mengorbankan lebih 70 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan yang lainnya. 

Contoh yang seterusnya, OIC mengutuk perbuatan dan pelanggaran serius rejim Israel terhadap tapak keagamaan seperti Masjid Ibrahimi di bandar Hebron. 

OIC menyeru masyarakat dan pertubuhan antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengiktiraf Masjid Ibrahimi sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 2017 untuk membantu campur tangan menghentikan pelanggaran dan provokasi ini serta-merta.

Cabaran OIC dalam menangani isu global umat islam

Jika dilihat dari kaca mata sebenar, realitinya tidak seindah yang dirancang.

Hal ini dapat dilihat bagaimana OIC yang merupakan pertubuhan organisasi kedua terbesar masih tidak mampu untukmenyelesaikan pelbagai isu yang berlaku di negara-negara Islam. 

Dalam bahasa mudahnya, OIC tidak mempunyai sebarang kuasa dari segi penguatkuasaan terhadap keputusan yang dibuat dalam persidangannya.

Sebaliknya, semua keputusan hanyalah bersifat rundingan yang akan dibawa ke persidangan PBB. 

Oleh hal yang demikian, banyak resolusi yang dibincangkan tidak mampu untuk diterjemahkan secara serta-merta dan nyata. 

Sebagai contoh, boleh dikatakan setiap kali persidangan atau mesyuarat luar biasa dijalankan, negara-negara Islam akan membincangkan isu berkaitan Palestin. 

Perbincangan demi perbincangan dilakukan dan hasil daripada perbincangan dibawa ke Persidangan PBB. 

Tetapi apa yang boleh kita lihat, tidak ada sebarang perubahan yang berlaku malah kezaliman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza terus berleluasa. 

Hal ini demikian kerana, pihak rejim Zionis mempunyai memiliki pengaruh kuasa besar yang membantunya di belakang mereka. 

Pada 12 September lalu, semasa Perhimpunan Agung PBB di New York, terdapat perbincangan mengenai undian berhubung Isu Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara.

Walaupun sebanyak 142 negara yang mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara, usul tersebut tetap terbatal kerana terdapat kuasa veto yang tidak bersetuju berhubung perkara yang diusulkan.

Kesimpulannya, OIC memainkan peranan yang penting dalam menjadi platform atau wadah bagi menyampaikan maklumat dan menyuarakan pendapat umat Islam di seluruh dunia. 

OIC juga mencerminkan kesatuan dan perpaduan di antara negara-negara islam dalam menangani isu-isu atau masalah yang berlaku dalam kalangan umat islam di seluruh dunia.

Walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam menyelesaikan sesuatu masalah, negara-negara anggota OIC juga telah bertungkus dalam membawa resolusi dan penyelesaian ke peringkat PBB.

Kita boleh lihat perubahan demi perubahan yang telah berlaku seperti pertambahan bilangan negara-negara yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. 

Hal ini adalah sesuatu yang perlu dibanggakan kerana telah membuka mata ramai dari negara-negara bukan Islam yang dahulunya tidak mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat telah berubah fikiran kepada sebaliknya. 

Antara kesan yang boleh kita lihat di mana, penduduk dari pelbagai negara telah bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan Global Sumud Flotilla. 

Walaupun ada diantara mereka bukan beragama Islam, tetapi mereka turut serta membantu penduduk Palestin atas nama kemanusiaan.

Hal ini adalah satu bentuk kejayaan di mana, kita dapat membuka mata seluruh dunia bahawa Islam adalah agama yang tidak suka akan kekerasan dan pembunuhan sekaligus menangkis stereotaip bahawa Islam adalah ‘terrorist’. — Oleh MUHAMMAD AZHAR KHAIRUNNAS ROBIN (Universiti Malaya)

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan