Sunday, July 19, 2026

Anwar gesa AS bebaskan segera Presiden Venezuela, isteri

Penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui tindakan pihak luar menetapkan satu preseden berbahaya. 

Mesti Baca

DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa agar Presiden Venezuela, Nicolás Maduro dan isterinya, Cilia Flores yang kini ditahan oleh Amerika Syarikat (AS) dalam operasi ketenteraan berskala besar dan tidak lazim dibebaskan segera tanpa kelewatan yang tidak wajar.

Perdana Menteri menegaskan, apa jua alasan yang dikemukakan, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui tindakan pihak luar menetapkan satu preseden berbahaya. 

Menurut beliau, tindakan tersebut menghakis kekangan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara serta melemahkan kerangka perundangan yang menjadi tunjang kepada ketertiban antarabangsa.

“Adalah menjadi hak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri. 

“Sejarah telah menunjukkan bahawa perubahan kepimpinan secara mendadak yang dicetuskan melalui kekerasan dari luar lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

“Apatah lagi bagi sebuah negara yang telah lama bergelut dengan kesukaran ekonomi berpanjangan dan tekanan sosial yang mendalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, beliau mengikuti perkembangan di Venezuela dengan kebimbangan yang amat serius dan menganggap penahanan Presiden Maduro dan isteri menerusi satu operasi ketenteraan AS berskala luar biasa dan bersifat tidak lazim. 

Beliau berkata, tindakan sedemikian merupakan satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan tergolong sebagai penggunaan kekerasan yang tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.

Anwar berkata, Malaysia memandang penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara sebagai prinsip utama dalam memastikan hubungan aman antara negara-negara. 

“Penglibatan secara konstruktif, dialog serta usaha meredakan ketegangan kekal sebagai laluan paling berwibawa ke arah satu penyelesaian yang melindungi orang awam dan membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa menanggung kemudaratan selanjutnya,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan