MALAYSIA menyambut baik persetujuan gencatan senjata yang dicapai antara Kemboja dan Thailand yang mula berkuat kuasa pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan (1 petang waktu Malaysia).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan kedua-dua negara untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan pasukan masing-masing mencerminkan kesedaran bersama bahawa sikap menahan diri amat diperlukan, khususnya demi kepentingan orang awam.
Menurut beliau, kenyataan bersama yang dipersetujui menetapkan langkah-langkah praktikal dan positif, termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN serta komunikasi secara langsung antara pihak berkuasa pertahanan kedua-dua negara.
“Langkah-langkah ini menyediakan asas kepada kestabilan dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh komitmen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar turut menegaskan, Malaysia akan terus menyokong segala usaha bagi memastikan semua komitmen tersebut dipatuhi meskipun akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina bermula tengah malam 1 Januari 2026.
Katanya, sokongan berterusan itu penting bagi memelihara prestij dan kredibiliti ASEAN sebagai sebuah rantau yang aman dan stabil.
Gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja itu dicapai susulan konflik berlarutan di kawasan sempadan yang mengorbankan puluhan nyawa serta menyebabkan pemindahan besar-besaran penduduk awam, sekali gus mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan Asia Tenggara.
Thailand dan Kemboja hari ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi menamatkan konflik bersenjata di sepanjang sempadan kedua-dua negara yang berlarutan hampir tiga minggu. – Edisi 9

