DATUK Seri Najib Razak yang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.28 bilion berhubung kes 1MDB hari ini menitipkan sepucuk surat untuk rakyat Malaysia.
Surat yang disampaikan menerusi peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah antaranya menasihati rakyat Malaysia khususnya para penyokong beliau agar kekal tenang, rasional dan berhemah.
Bekas Perdana Menteri itu turut menggesa mereka agar tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan.
“Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang,” kata beliau.
Berikut coretan penuh Najib:
Saudara dan saudari yang saya hormati
Saya menulis ini dengan fikiran yang tenang, meskipun hati saya berat.
Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian.
Namun saya tetap bertekad untuk meneruskannya — bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip.
Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan.
Niat saya tidak pernah berubah: untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab. Ia adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan, dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar.
Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara.
Sehubungan itu, saya memohon semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan.
Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama.
Najib, 72, dikenakan hukuman tersebut selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Persekutuan yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah malam ini. — Edisi 9

