Sunday, July 19, 2026

Polis bongkar makmal haram MDMA bernilai RM1.04 bilion

Sejumlah besar dadah disyaki MDMA dalam bentuk cecair dan serbuk, selain kokain dan ketamin, bersama pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah. 

Mesti Baca

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis MDMA di sekitar Lembah Klang hasil risikan berterusan dan tindakan susulan penahanan enam suspek.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu membawa kepada beberapa siri serbuan susulan oleh pihaknya pada 21 Disember lalu di sekitar Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan, Kajang, Selangor serta Taman Perindustrian Kepong, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas sejumlah besar dadah disyaki MDMA dalam bentuk cecair dan serbuk, selain kokain dan ketamin, bersama pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah. 

“Nilai pasaran dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM1.04 bilion dan mampu merosakkan seramai 20.7 juta orang,” katanya di Semenyih, Kajang hari ini.

Hussein berkata, secara keseluruhan, nilai rampasan dianggarkan mencecah RM2.6 bilion, termasuk sitaan beberapa buah kenderaan dan jentera yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemprosesan serta pengedaran dadah.

Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama 14 hari bermula 17 hingga 30 Disember dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Hussein menegaskan, pihak polis tidak akan berkonpromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran, pemprosesan atau melindungi kegiatan dadah.

“Usaha memerangi dadah akan terus diperkasakan demi melindungi keselamatan masyarakat serta generasi masa kini dan akan datang,” tegas beliau.

Orang ramai turut digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan