SERAMAI 55 warganegara Malaysia dilapor telah ditahan di luar negara atas kesalahan penyeludupan dadah sejak Januari hingga September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah tersebut seramai 50 orang adalah lelaki manakala lima lagi wanita.
Beliau berkata, mereka telah ditahan di lebih 15 negara termasuk di Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Taiwan.
Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket merekrut mangsa melalui media sosial, iklan kerja palsu dan tawaran perjalanan menarik, dengan menjanjikan upah antara RM1,000 hingga RM10,000.
“Tawaran seperti tiket penerbangan dan ‘kerja mudah tanpa pengalaman’ hanyalah umpan untuk memperdaya mangsa membawa bungkusan mengandungi dadah berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, modus operandi sindiket kini semakin canggih termasuk menyembunyikan dadah dalam bagasi, barangan peribadi, makanan, peralatan elektronik, perabot kecil serta menggunakan khidmat kurier dan kaedah body packing.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu dan segera melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.
Baru-baru dua pasangan muda ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kerana cuba menyeludup dadah jenia ganja seberat 68 kilogram bernilai RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom.
Kesemua mereka berusia lingkungan 20-an ditahan selepas bagasi milik seorang daripada mereka diimbas semula oleh pihak syarikat penerbangan apabila pasangan itu tidak dibenarkan menaiki pesawat.
Hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku menerima tawaran pekerjaan melalui aplikasi TikTok untuk membawa barangan sambil melancong dengan bayaran antara RM8,000 hingga RM11,000. — Edisi 9

