Monday, July 20, 2026

Kerajaan perketat tindakan ancaman dadah guna data – Zahid

Sepanjang 2025, nilai rampasan dadah dan bahan racun di Malaysia mencecah RM3.19 bilion, meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Mesti Baca

KERAJAAN akan memperketat tindakan membanteras ancaman dadah menerusi pendekatan berasaskan data serta penyelarasan menyeluruh antara kementerian dan agensi penguatkuasaan bagi menangani gejala yang semakin kompleks di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata ancaman dadah kini berada pada tahap serius dengan corak pengedaran yang lebih tersusun dan merentas sempadan, sekali gus memerlukan tindakan bersepadu dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, sepanjang tahun 2025, nilai rampasan dadah dan bahan racun di Malaysia mencecah RM3.19 bilion, meningkat berbanding tahun sebelumnya melibatkan sebanyak 89 tan dadah dan 132 tan bahan racun.

“Laporan terkini turut merekodkan seramai 191,832 individu terlibat, membuktikan bahawa isu dadah bukan lagi semata-mata isu jenayah, tetapi telah menjadi cabaran besar terhadap keamanan dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan tindakan memerangi dadah tidak boleh lagi dilaksanakan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh merentas kementerian, agensi penguatkuasaan serta penglibatan masyarakat.

Katanya, pendekatan whole-of-government dan whole-of-society perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit yang boleh diukur bagi memastikan usaha pembanterasan dadah lebih berkesan.

“Perjuangan memerangi dadah bukan tanggungjawab satu pihak sahaja tetapi memerlukan komitmen bersama keluarga, komuniti, institusi pendidikan dan sektor swasta,”katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus bertindak tegas tanpa kompromi dalam memastikan keselamatan rakyat serta melindungi masa depan generasi negara daripada ancaman penyalahgunaan dadah. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan