KEMENTERIAN Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan kenaikan harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung sebanyak lima sen seliter bagi tempoh 26 Februari hingga 4 Mac 2026.
Menurut MOF, selaras dengan peningkatan harga minyak mentah dunia, harga runcit petrol RON97 ditetapkan pada RM3.15 seliter manakala RON95 tanpa subsidi pada RM2.59 seliter.
“Bagi tempoh 26 Februari hingga 4 Mac 2026, harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak lima sen kepada RM3.15 seliter, manakala harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dinaikkan sebanyak lima sen kepada RM2.59 seliter,” menurut kenyataan itu hari ini.
MOF turut memaklumkan harga runcit petrol RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI95 kekal pada paras RM1.99 seliter.
Sementara itu, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak lima sen kepada RM3.04 seliter.
Bagaimanapun, harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Menurut MOF, penetapan harga runcit produk petroleum adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang dilaksanakan secara mingguan.
“Kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga serta kebajikan rakyat,” jelas MOF.
Kerajaan juga akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. — Edisi 9

