Thursday, June 4, 2026

Harga petrol, diesel tanpa subsidi naik antara 40 sen dan 70 sen

Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini namun kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.

Mesti Baca

SEMUA harga runcit bagi produk petrol dan diesel tanpa subsidi terus meningkat antara 40 sen dan 70 sen susulan krisis tenaga di Asia Barat, yang telah meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.

“Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya, dan bukannya harga semasa hari ini.

“Sehubungan itu, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu, ketika pasaran global berada pada paras yang lebih tinggi, yang telah mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel, dan ini terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MOF mengumumkan harga runcit tanpa subsidi bagi RON97 bagi tempoh 9 hingga 15 April ialah RM5.35, menokok 40 sen berbanding RM4.95 minggu lalu.

Bagi RON95 pula, juga naik 40 sen kepada RM4.27 berbanding RM3.87 pada minggu lalu sementara harga diesel di Semenanjung melonjak kepada RM6.72 berbanding RM6.02 minggu lalu.

Bagaimanapun, MOF berkata, kerajaan masih mengekalkan harga subsidi bersasar bagi BUDI95 kepada RM1.99; diesel bagi Sabah Sarawak dan Labuan RM2.15.

Begitu juga Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) iaitu RM2.05 dan RM2.15 seliter.

MOF berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi, di samping terus melindungi rakyat menerusi mekanisme sokongan bersasar yang sedia ada.

“Kerajaan akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan