JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah di sekitar Lembah Klang dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM8.6 juta dalam serbuan pada 3 April lalu.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi hasil risikan itu membawa kepada penahanan dua suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 28 tahun.
Menurut beliau, serbuan dijalankan di kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Pandan Indah, Ampang, Selangor sebelum membawa kepada rampasan awal sebanyak 50 bungkusan disyaki dadah jenis ketamin seberat 51.43 kilogram (kg).
“Pemeriksaan lanjut di unit kondominium yang sama menemui pelbagai lagi jenis dadah termasuk 42 bungkusan methamphetamine seberat 43.77 kg, dua bungkusan ketamin (1.89 kg), ketulan MDMA (1.01 kg), serta 2,343 kartrij cecair vape mengandungi MDMA seberat 17.57 kg dan pil ekstasi seberat 6.3 kg,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan, jumlah rampasan melibatkan 53.32 kg ketamin, 43.77 kg methamphetamine, 1.01 kg MDMA, 17.57 kg cecair vape MDMA serta 6.3 kg pil ekstasi dengan nilai pasaran keseluruhan dianggarkan RM8,586,750.

Menurut Hussein, jumlah dadah yang dirampas itu dipercayai mampu merosakkan kira-kira 424,000 pengguna.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai ‘store keeper’ dan ‘runner’ yang menerima upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran, manakala sindiket tersebut aktif sejak Januari lalu.
“Siasatan mendapati sindiket menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa selain menjadikan rumah sewa sebagai lokasi penyimpanan dadah,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 April bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan perjudian,” katanya.
Dalam pada itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan penyitaan aset bernilai RM80,000 melibatkan sebuah kenderaan Proton X70 dan Nissan Grand Livina.
Jelas beliau, jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM8,666,750.
“JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam pengedaran dadah. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini,” katanya. — Edisi 9

