POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan membongkar stor simpanan serta merampas syabu bernilai RM13.6 juta dalam empat serbuan di sekitar Lembah Klang, dua hari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lima lelaki tempatan berusia 30-an hingga 60-an turut ditangkap di beberapa lokasi termasuk Puchong, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sri Petaling.
Beliau berkata, rampasan terbesar dibuat di sebuah rumah teres di Bandar Puchong Jaya yang dijadikan stor penyimpanan dadah, di mana jumlah keseluruhan rampasan ialah 425.25 kilogram syabu bernilai RM13.6 juta dan ianya cukup untuk menjerat lebih 2.1 juta penagih.
“Sindiket menggunakan rumah teres di kawasan perumahan sebagai stor simpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Suspek turut mengedar dengan berpura-pura sebagai pengguna jalan raya biasa bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa,” katanya di Shah Alam hari ini.
Hussein berkata, suspek yang ditahan masing-masing berperanan sebagai transporter (pengangkut dadah), penjaga stor dan koordinator sindiket.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.
Semua suspek telah direman dari 19 hingga 25 Ogos 2025 untuk siasatan lanjut.
JSJN turut menyita aset bernilai RM133,350 termasuk dua buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM13.74 juta.
JSJN menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN 012-208 7222. — Edisi 9

