Sunday, July 19, 2026

Dituduh terlibat serang anak Rafizi, bekas PM lapor polis, MCMC

Keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam laman Facebook tersebut tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baiknya.

Mesti Baca

ANGKARA dituduh terlibat dalam serangan ke atas anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat laporan polis terhadap pemilik satu akaun Facebook.

Laporan dibuat Setiausaha Akhbarnya Isnin lalu di Balai Polis Dang Wangi ke atas akaun Facebook tersebut yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkan beliau dengan kejadian yang menimpa anak Rafizi serta skandal membabitkan sebuah syarikat swasta.

“Satu laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya,” kata Perdana Menteri Kesembilan itu dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Parlimen Bera mengucapkan terima kasih kepada Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi yang menjelaskan ketidakterlibatan beliau dengan insiden tersebut.

Ismail Sabri berkata, keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam laman Facebook tersebut tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baiknya.

“Saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook ini serta mana-mana pihak yang menyebarkan artikel terbabit,” katanya.

Beliau juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya terhadap pihak terbabit.

Sebelum itu, Rafizi menafikan dakwaan kononnya serangan terhadap anaknya mempunyai kaitan dengan Ismail Sabri atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, tuduhan tersebut merupakan cubaan jahat pihak tertentu untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.

“Serangan terhadap anak saya minggu lalu diikuti mesej ugutan yang mahukan saya diam. Timbul persoalan, siapa yang mahu saya diam dan mengenai isu apa.

“Ada yang cuba kaitkan dengan Ismail Sabri atau KJ. Saya tidak menyelidik atau menyentuh kedua-duanya, ini cubaan jahat untuk mengalihkan perhatian,” katanya seperti dilapor media. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan