Tuesday, July 21, 2026

UMNO lemah punca kita tidak dihormati kawan – Armand Azha

Kerana hanya bila kita kukuh, bersatu dan teguh baru kita akan dihormati dalam mana-mana kerjasama politik.

Mesti Baca

KEDUDUKAN UMNO yang lemah pada masa kini menjadi sebab parti itu dilihat tidak dihormati termasuk dalam kalangan rakan-rakan parti Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifgah berkata, nasib yang menimpa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh tidak akan berlaku sekiranya UMNO berada dalam keadaan kuat.

“Kenapa jadi begini? Jawapan mudah kerana kita dalam Kerajaan Madani jawapannya. Kerjasama yang masih belum utuh tapi masih rapuh di antara kerjasama parti-parti.

“Sebab itu bertahun-tahun saya nyatakan secara konsisten, yang utama adalah kukuhkan parti kita (UMNO) dahulu sebelum bicara hal kerjasama mana-mana pihak.

“Kerana hanya bila kita kukuh, bersatu dan teguh baru kita akan dihormati dalam mana-mana kerjasama politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegur beliau, UMNO mahu menjadi kuat tetapi masih ada sifat menyerang sesama sendiri, masih ada budaya ‘cah keting’ dalam parti.

“Kita nak parti kuat tapi masih gagal letak keutamaan dalam diri kita iaitu Perjuangan, Penyatuan, Pengukuhan, Perpaduan dan Pelaksanaan,” katanya.

Jelas Armand Azha, beliau yakin hanya jika lima perkara itu diletakkan di dalam diri setiap pemimpin dan ahli-ahli UMNO, parti itu akan kembali dominan.

Beliau turut menitipkan pesan agar Akmal tidak gentar dalam menongkah arus perjuangan kerana pahit-getir yang dilalui adalah kamus seorang pejuang.

“Lagi kita dihina, dicerca, dimaki malah dicaci, lagi kita kuat dalam jiwa perjuangan kita. Resam panglima Melayu harus sanggup membakar diri ibarat lilin yang membakar demi menerangkan bilik yang gelap.

“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Sekiranya takut kepada risiko, jangan dekati bahaya perjuangan ABATA (agama, bangsa dan tanah air),” katanya.

Akmal bakal dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Jumaat ini susulan mengetuai himpunan aman di hadapan sebuah premis perniagaan milik orang Cina yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik baru-baru ini.

Tindakan itu tidak disenangi oleh DAP dan mengarahkan sayap pemudanya DAPSY di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Akmal.

Sebelum itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan dalam satu wawancara bersama sebuah akhbar tempatan mendakwa parti itu telah beberapa kali ditipu dan dibuli oleh Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini termasuk ketika BN sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan