AHLI Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta menjawab isu projek mesin layan diri nasi lemak yang dipeloporinya ketika menjawat Menteri Ekonomi daripada mencetuskan provokasi berkaitan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ini kerana tempoh penggal ke-15 Parlimen hanya berbaki kurang daripada dua tahun dan edahnya sudah berakhir Disember tahun lalu.
Beliau berkata, jika benar PKR yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mengatur untuk menyingkirkan Rafizi di Parlimen Pandan, bermakna parti itu paling banyak menyebabkan diadakam PRK bagi menyelesaikan masalah dalamannya.
“Maka sanggupkah PMX (Anwar) buat sekali lagi PRK di Parlimen Pandan hanya kerana perang saudara dalam PKR? Kenapa negara perlu diseret dengan membazirkan wang pembayar cukai?
“Biarlah Rafizi kekal Ahli Parlimen di Pandan hingga habis tempoh. Rafizi tidak perlu buat provokasi untuk cari simpati.
“Lebih baik cerita apa status vending machine (mesin layan diri) nasi lemak kamu itu. Apakah ekonomi rakyat tambah bagus? Jangan syok sendiri,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Rafizi sebelum didakwa menyatakan kemungkinan diadakan PRK di Parlimen Pandan bagi menyingkirkan beliau dan digantikan dengan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz.
Mohd Puad berkata, PKR sebelum telah beberapa kali menyebabkan diadakan PRK dengan kali pertama di Parlimen Permatang Pauh selepas Datuk Seri Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding bagi menubuhkan kerajaan pada 16 September namun gagal dan duit pembayar cukai telah dibazirkan.
Kedua, PRK Parlimen Port Dickson 13 Oktober 2018 setelah Anwar dapat pengampunan penuh. Dato Danyl Balagopal letak jawatan agar Anwar boleh jadi PM (Perdana Menteri) selepas setahun Tun Dr Mahathir Mohamad jadi PM Ketujuh. Anwar masih tidak jadi PM. Duit pembayar cukai dibazirkan,” katanya.
Beliau berkata, kali ketiga ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac 2014 apabila Lee Chin Cheh diminta melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar yang kononnya mahu menjadi Menteri Besar Selangor.
“Oleh kerana Mahkamah Rayuan memutuskan Anwar bersalah maka Wan Azizah yang bertanding. Anwar dan Wan Azizah gagal jadi MB. Sekali lagi duit pembayar cukai dibazirkan,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Puad menggesa Ketua Audit Negara menjalankan siasatan terhadap projek mesin layan diri nasi lemak yang diterajui Rafizi.
Ia susulan kritikan terbuka Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan terhadap projek tersebut dalam Konvensyen PKR Johor baru-baru ini.
Mohd Puad berkata, projek bernilai RM750 juta itu adalah idea bernas Rafizi ketika menjawat jawatan Menteri Ekonomi sebelum ini yang dianggap sebagai projek gagal.
“Ramanan menganggap projek itu gagal. Sebab itu dia berani menasihati PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) secara terbuka agar lain kali pilih Menteri Ekonomi yang betul-betul layak.
“Ini isu rakyat. Justeru saya mendesak Ketua Audit Negara mesti menyiasat status projek tersebut. Apakah masih berkesan, tidak membazir dan tidak ada “make up” pembelian vending machine (mesin layan diri),” katanya. — Edisi 9
//
Rafizi membuat provokasi kononnya PKR mengatur pilihanraya kecil di Pandan. Dia meramalkan Tgk Zafrul akan menjadi calon PKR.
Edah parlimen tiga tahun sudah pun berlalu (Disember 2025). Kalau PRK Pandan diadakan itu bermakna PKR parti paling banyak menyebabkan PRK terpaksa dibuat untuk selesai masalah dalaman PKR.
Pertama, PRK Permatang Pauh. Wan Azizah mengosongkannya untuk beri laluan kepada Anwar yang kononnya mahu menubuhkan kerajaan 16 September. Ia gagal. Anwar tidak jadi PM. Duit pembayar cukai dibazirkan.
Kedua, PRK Parlimen Port Dickson 13 Oktober 2018 setelah Anwar dapat pengampunan penuh. Dato Danyl Balagopal letak jawatan agar Anwar boleh jadi PM selepas setahun Tun M jadi PM ke 7. Anwar masih tidak jadi PM. Duit pembayar cukai dibazirkan.
Ketiga PRK DUN Kajang 23hb Mac 2014. YB Lee Chin Cheh kena letak jawatan untuk beri laluan kepada Anwar yang kononnya mahu jadi MB Selangor. Oleh kerana Mahkamah Rayuan memutuskan Anwar bersalah maka Wan Azizah yang bertanding. Anwar dan Wan Azizah gagal jadi MB. Sekali lagi duit pembayar cukai dibazirkan.
Maka sanggupkah PMX buat sekali lagi PRK di parlimen Pandan hanya kerana perang saudara dalam PKR? Kenapa negara perlu diseret dengan membazirkan wang pembayar cukai?
Biarlah Rafizi kekal MP di Pandan hingga habis tempoh. Rafizi tidak perlu buat provokasi untuk cari simpati. Lebih baik cerita apa status vending machine nasi lemak kamu itu. Apakah ekonomi rakyat tambah bagus? Jangan syok sendiri.

