PARTI Warisan mengumumkan bertanding di kesemua 73 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dalam misi besar, untuk merampas negeri itu dalam PRN kali ini.
Berbanding hanya bertanding 46 kerusi pada PRN lalu, Warisan yang merupakan “parti lokal” kali ini bergerak solo dan memasang impian setinggi gunung Kinabalu.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika mengumumkan senarai calon berkata, Warisan mengemukakan hampir 60 peratus muka baharu, manakala sekitar 30 peratus adalah calon muda.
Jelas beliau, kesemua calon yang dipilih telah melalui proses tapisan ketat dengan menekankan calon yang bebas kes rasuah.
Shafie turut mengesahkan, beliau akan mempertahankan kerusi disandangnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang.
“Kita tahu Warisan bukan parti yang banyak duit, kadang-kadang sewa bangunan Warisan ini pun tangguh bayarannya.
“Maka saya ingin nasihatkan kepada calon… kadang-kadang calon ini ada saya dengar mereka tidak turun padang, pelbagai masalah yang ada… jangan begitu.
“Ini untuk rakyat, yang tidak terpilih sebagai calon jangan kecewa, mari kita berjuang bersama kali ini.
“Ini bukan sekadar pilihan raya tetapi perjuangan untuk masa depan anak-anak Sabah.
“Jangan biarkan Sabah terus ketinggalan kerana politik yang memecah-belah. Mari kita satukan tenaga. Satu hati, satu tujuan, satu Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian watikah dan pengumuman calon Warisan, di Kota Kinabalu hari ini.
Pada PRN-16 lalu, Warisan menang 23 kerusi daripada 46 kerusi yang ditandingi sementara DAP yang menggunakan logo Warisan menang enam kerusi.
Secara keseluruhan, pakatan Warisan Plus yang juga merangkumi PKR dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada ketika itu memenangi 32 kerusi. — Edisi 9

