BEKAS Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengumumkan menarik diri daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tempasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti itu di DUN Tempasuk.
Beliau berkata, hasrat beliau itu telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya telah memberitahu YAB Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baru dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti UMNO di DUN Tempasuk.
“Saya telah bertanding tiga kali di parlimen Kota Belud (2013, 2018 dan 2022). Dua kali menang dan sekali kalah.
“Dalam ketiga-tiga pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di kerusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rahman berkata, beliau percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab tersebut dengan cemerlang.
“Sebagai ahli parti, saya akan terus membantu parti melalui kapasiti yang lain,” katanya.
Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk bertanding di kerusi berkenaan sepertimana diumumkan Ahmad Zahid pada 9 November lalu.
“Begitu juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong UMNO di DUN Tempasuk atas sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini,” katanya.
Dalam PRN Sabah kali ini, BN yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), akan bertanding di 41 kerusi. — Edisi 9

