Wednesday, July 22, 2026

Pemberian khas: BN sambut baik keputusan kerajaan Pusat

Sejak dari awal, BN sentiasa menjunjung kepentingan rakyat Sabah, mempertahankan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian dan perlembagaan... - Zahid Hamidi

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas 40 peratus hasil untuk Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu merupakan langkah yang tepat dan selaras dengan semangat federalisme, serta menghormati hak rakyat Sabah yang telah dijamin sejak dahulu lagi.

Beliau berkata, BN turut mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah bagi memastikan pelaksanaan Pemberian Khas ini dapat direalisasikan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan.

“Sejak dari awal, BN sentiasa menjunjung kepentingan rakyat Sabah, mempertahankan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian dan perlembagaan, serta berusaha memastikan setiap komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap negeri ini dilaksanakan secara adil dan berakauntabiliti.

“BN akan terus konsisten memperjuangkan hak Sabah dan juga mana-mana negeri lain mengikut kerangka perundangan serta semangat Perlembagaan, demi memastikan Malaysia kekal stabil, makmur dan inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sepertimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

AGC berkata, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil. 

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” kata AGC dalam kenyataan selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri.

Isu Pemberian Khas 40 peratus menjadi antara topik perbincangan hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Malahan isu 40 peratus itu juga membawa kepada peletakan jawatan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedict sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Malahan Ewon turut membawa keluar UPKO daripada Pakatan Harapan (PH) kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Pada 18 Oktober lalu, AGC memaklumkan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

Menurut kenyataan AGC, mahkamah pada 17 Oktober lalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah perlu menjalankan satu lagi semakan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2022. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan