Sunday, July 19, 2026

Mangsa buli berhenti sekolah ditawar belajar di GiatMARA

MARA akan menawarkan tempat pengajian kepada adik Syafikah di GiatMARA Muar dalam bidang Kulinari, bidang yang memang menjadi minat dan kecenderungannya sejak kecil - Asyraf Wajdi

Mesti Baca

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memberi peluang kepada seorang remaja untuk meneruskan pendidikan di GiatMARA setelah sebelum ini dia terpaksa berhenti sekolah akibat tidak tahan dibuli.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar terbabit, Syafiqah dari Tangkak, Johor terpaksa berhenti sekolah akibat dibuli secara mental dan fizikal sehingga hilang semangat untuk meneruskan pelajaran.

Beliau berkata, sejak kecil anak kedua daripada tiga beradik itu membantu ibunya berniaga sarapan pagi di warung kecil di Tangkak.

“Ayahnya pula ditimpa musibah penyakit yang kehilangan sebelah kaki dan keluarga ini hanya bergantung kepada pendapatan harian warung tersebut untuk meneruskan kehidupan.

“Sebaik kisahnya sampai kepada saya, sahabat saya Arif Wagiman, Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang, segera menghubungi saya untuk mencari jalan membantu anak ini yang sudah putus semangat untuk bersekolah.

“Alhamdulillah, hasil koordinasi bersama GiatMARA Johor dan pemimpin komuniti setempat, MARA akan menawarkan tempat pengajian kepada adik Syafikah di GiatMARA Muar dalam bidang Kulinari, bidang yang memang menjadi minat dan kecenderungannya sejak kecil,” katanya hari ini.

Kisah pilu Syafiqah, 17, diceritakan oleh seorang pempengaruh, Afiq Noordin menerusi Facebooknya dua hari lalu sehingga mendapat perhatian Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi berkata, melalui program tersebut, GiatMARA akan menanggung  semua kos pengajian termasuk elaun bulanan dan keperluan asas.

Katanya, ini termasuk bantuan penginapan yang akan diuruskan oleh rakan-rakan Persatuan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) daerah Ledang yang turut tampil membantu. 

“Alhamdulillah sinergi bersama pemimpin komuniti setempat dan pihak GIATMARA Negeri Johor dapat membantu adik Syafiqah untuk memberi semula harapan dalam meneruskan pelajaran dalam bidang TVET,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mengingatkan bahawa isu buli bukan perkara kecil dan bukan sesuatu yang normal. 

Sebaliknya, kata beliau, ia boleh meragut keyakinan, mematahkan semangat dan menghancurkan masa depan seorang anak bangsa. 

“Kita perlu berani menolak budaya ini dan melindungi anak-anak yang menjadi mangsa.

“Kisah adik Syafikah ini mengingatkan kita bahawa setiap anak berhak diberi peluang kedua. 

“Hari ini mungkin dia mangsa, tetapi dengan sokongan dan kasih masyarakat, Insya-Allah dia akan bangkit sebagai insan yang berjaya dan jadi inspirasi buat orang lain,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan