Oleh AZIZI MAJID
KEMUDAHAN pinjaman kenderaan sehingga RM200,000 untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu bukanlah perkara baharu.
Skim ini sudah wujud sejak tahun 1981, diperkenalkan ketika pentadbiran UMNO dahulu.
Namun, hanya kerana sesuatu dasar itu telah lama wujud, tidak bermakna ia perlu diteruskan secara membuta tuli.
Zaman sudah berubah. Keutamaan kerajaan hari ini sepatutnya tertumpu kepada rakyat, bukan menambah kemudahan peribadi untuk golongan yang sudah pun menikmati pelbagai keistimewaan.
Sebahagian besar ADUN sudah memiliki pendapatan tambahan daripada jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ada yang memegang dua, tiga malah sehingga lima jawatan serentak. Dengan pelbagai sumber pendapatan ini, apa alasan lagi untuk meminjam sehingga RM200,000 bagi membeli kenderaan baharu?
Lebih ironik, ramai wakil rakyat sudah pun memandu kenderaan mewah — BMW, Mercedes, Vellfire, Alphard dan sebagainya.
Maka persoalannya: berapa banyak lagi kereta yang diperlukan untuk menunjukkan khidmat kepada rakyat?
Sedangkan di kampung, masih ramai rakyat menunggu bantuan sakit kronik, atap dan bumbung rosak dilanda ribut atau mencari dana untuk anak-anak melanjutkan pelajaran.
RM7 juta yang diperuntukkan untuk skim ini bukan jumlah kecil. Jika dibahagikan kepada 32 kawasan DUN, setiap kawasan boleh menerima lebih RM200,000.
Dengan jumlah itu, banyak jalan kampung boleh diturap, dewan orang ramai boleh dibaik pulih, dan program latihan belia boleh digerakkan.
Dana yang sama mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukan sekadar menambah keselesaan kepada mereka yang sudah sedia selesa.
Dari sudut pengurusan kewangan awam, tindakan meneruskan skim ini tanpa penilaian semula adalah tidak bertanggungjawab.
Kerajaan negeri perlu berani menilai semula dasar lapuk ini. Jika tidak relevan lagi, maka ia wajar dimansuhkan.
Rakyat sedang memerhati bagaimana wang mereka dibelanjakan.
Jika pemimpin benar-benar mahu dihormati, buktikan dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukan kemewahan peribadi sebagai keperluan.
Setiap sen wang negeri mesti kembali kepada rakyat bukan kepada poket atau keselesaan wakil rakyat.
Penulis adalah pemerhati politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

