Monday, July 20, 2026

Anak-anak arwah Amirul Hafiz jadi anak angkat MARA – Asyraf

Bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.

Mesti Baca

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah ungkapan yang sesuai untuk balu dan anak-anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang kelmarin.

Arwah meninggalkan seorang balu, Nor Nadia Abdul Majid, 32, dan tiga anak —  Muhammad Aqif Amsyar, 9, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2.

Bagi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tragedi itu bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa tetapi meninggalkan luka yang amat mendalam buat seluruh keluarga.

Beliau berkata, pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang insan tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil.

“Atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan, MARA mengambil keputusan untuk menjadikan Aqif dan Afif sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

“Kepada adik Aqif dan Afif, teruslah kuat dan tabah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah kebanggaan keluarga. 

“InsyaAllah, MARA akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan yang lebih baik,” katanya hari ini.

Sebelum itu, Asyraf Wajdi sempat berbuat menerusi panggilan video dengan ibu Allahyarham, Faridah Ahmad untuk berkongsi rasa duka atas tragedi yang menimpa keluarga mereka.

Keluarga Allahyarham turut diziarahi Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Faisalludin Mohamat Yusuff dan Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff yang turut menyampaikan sumbangan.

Asyraf Wajdi berkata, bantuan YPM itu bukan bersifat sementara tetapi satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan kedua-dua mereka terus terbela. 

“Bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah, disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi kelmarin, Amirul Hafiz maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal serta dua kereta iaitu Honda City dan Perodua Myvi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu Honda City, lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, dipercayai memandu secara laju dan berbahaya dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang.

Lelaki terbabit kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan