KEMATIAN Allahyarham Amirul Hafiz Omar akibat kemalangan tragis semalam perlu menjadi titik perubahan kepada kerajaan untuk bertindak lebih tegas terhadap jenayah pemanduan dalam keadaan mabuk.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, kejadian tersebut bukan sahaja meragut nyawa seorang individu tidak bersalah, malah mencerminkan kegagalan sistem sedia ada dalam mengekang ancaman pemandu mabuk di jalan raya.
“Pemergian beliau bukan sekadar satu kehilangan kepada keluarga, tetapi satu lagi peringatan pedih kepada kita semua tentang ancaman nyata pemandu mabuk di jalan raya.
“Terlalu kerap kita mendengar nyawa insan tidak bersalah diragut oleh kecuaian pihak yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk.
“Lebih membimbangkan, kejadian sebegini seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada golongan terbabit, malah dilihat semakin berleluasa,” katanya hari ini.
Menurut beliau, walaupun undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) telah memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda sehingga RM100,000, ia masih belum cukup berkesan untuk mengekang kesalahan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah lebih drastik termasuk mendakwa pesalah di bawah Kanun Keseksaan bagi kes melibatkan kematian, dengan hukuman lebih berat sehingga penjara seumur hidup atau hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya pampasan mandatori dikenakan kepada pelaku bagi membantu keluarga mangsa, selain mewujudkan skim khairat kematian berpusat yang diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu.
“Kita tidak boleh lagi melihat isu ini sebagai kesalahan biasa. Jika kesalahan berkaitan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan yang sama, malah lebih, kerana ia melibatkan kehilangan nyawa secara langsung,” katanya.
Beliau turut menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta semua Ahli Parlimen tanpa mengira blok politik agar segera membawa usul dan mengambil tindakan legislatif yang lebih tegas dalam menangani isu tersebut.
“Berapa banyak lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak?
“Nilai sebuah nyawa itu tidak ternilai. Jangan sampai kita hanya tersedar apabila ia melibatkan orang yang kita sayangi,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul Hafiz maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
Jelasnya, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.
Sementara itu, Jit Huey dilaporkan berkata, pemandu berkenaan direman empat hari bermula hari ini sehingga Khamis. — Edisi 9

