Sunday, July 19, 2026

Nurul Alifa wanita pertama terima Sayap Penerbang Maritim

Kejayaan Nurul Alifa menerima akan menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih ramai pegawai wanita dalam bidang operasi udara Maritim Malaysia.

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencipta sejarah tersendiri apabila Leftenan Madya Maritim Nurul Alifa Alias muncul sebagai pegawai wanita pertama daripada lantikan agensi ini menerima Sayap Penerbang selepas menamatkan latihan juruterbang helikopter selama 20 bulan.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan Maritim Malaysia dalam melahirkan pakar penerbang sendiri tanpa bergantung kepada pegawai yang diserap masuk daripada agensi keselamatan lain.

“Pencapaian ini merupakan satu lonjakan besar dalam memperkasa keupayaan dan inklusiviti warga Maritim Malaysia dalam operasi di udara termasuk kepada pegawai wanita,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Sayap Penerbang Maritim Malaysia 2026 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah dan Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim S. Ragu.

Saiful Lizan Ibrahim (dua kiri) menyampaikan Sayap Terbang kepada Nurul Alifa Alias pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Sayap Penerbang Maritim Malaysia 2026 di Putrajaya hari ini.

Saiful Lizan menyifatkan kejayaan Nurul Alifa menerima Sayap Penerbang sebagai pemangkin kepada penyertaan lebih ramai pegawai wanita dalam bidang operasi udara Maritim Malaysia.

Sementara itu beliau berkata, objektif utama latihan ini adalah untuk melahirkan penerbang maritim yang bukan sahaja mahir mengendalikan pesawat, tetapi juga kompeten dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dan menyelamat di laut yang semakin kompleks dan mencabar.

Justeru tegas beliau, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia, perlu memainkan peranan kritikal sebagai “mata di langit” dalam memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara.

“Keupayaan ini membolehkan Maritim Malaysia memperluas liputan pemantauan serta meningkatkan kadar kejayaan operasi, khususnya dalam misi Carilamat, pembanterasan jenayah rentas sempadan dan pencerobohan nelayan asing,” tegas beliau.

Terdahulu, Nurul Alifa merupakan antara lapan pelatih Juruterbang Helikopter Siri 3/2024 yang berjaya menamatkan latihan intensif antara 12 hingga 20 bulan melibatkan pelbagai fasa, termasuk latihan ikhtiar hidup, latihan penyelamatan dalam air (UWET), latihan simulator serta penerbangan sebenar dengan rekod sehingga 155 jam penerbangan.

Tujuh lagi pelatih turut dianugerahkan Sayap Penerbang iaitu Leftenan Maritim Mohd Al Azlan Shah Harun, Leftenan Madya Maritim Muhammad Firdaus Faisal, Leftenan Madya Maritim Awangku Mohd Farid Awang Engko Tajudin, Leftenan Madya Maritim Mohamad Ehram Mohd Noorlee, Leftenan Madya Maritim Muhammad Firdaus Ab Aziz, Leftenan Madya Maritim Muhammad Luqman Bahari dan Leftenan Madya Maritim Faqrul Shafiq Mohd Fadzludin.

Dalam majlis sama, enam pelatih Pegawai Sistem Udara Siri 2/2024 serta lima jurulatih penerbangan turut menerima sijil tamat latihan, manakala empat pelatih diiktiraf sebagai terbaik dalam kategori masing-masing. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan