Sunday, July 19, 2026

11 NGO desak tangguh sementara pelaksanaan Akta 872

Sekiranya kerajaan tetap melaksanakan akta ini, ia dikhuatiri akan menyakiti hati pekerja gig yang ada di Malaysia.

Mesti Baca

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersama 10 badan bukan kerajaan (NGO) menggesa agar pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang bakal dikuatkuasakan esok ditangguhkan sementara.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, penangguhan pelaksanaan Akta 872 itu perlu dibuat sehinggalah perbincangan dijalankan antara pihaknya dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Menurutnya, ini disebabkan sebelum akta ini dibawa ke Parlimen, MTUC telah menyatakan ketidaksetujuan, selain tiadanya perbincangan membabitkan pihaknya dan kerajaan berkait perkara berkenaan.

“Sebelum ini akta yang berkait dengan pekerja dan kebajikan pekerja ada melalui proses perbincangan dengan MTUC. Tetapi untuk akta ini, tidak ada perbincangan.

“Bila tidak ada perbincangan, kita pun tak tahu apa tujuan sebenarnya akta ini dibuat. MTUC telah memutuskan untuk menghantar surat kepada KESUMA menyatakan bahawa akta ini perlu ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang media khas di Wisma MTUC di Subang Jaya, Selangor, hari ini.

Kamarul Baharin berkata, sekiranya kerajaan tetap melaksanakan akta ini, ia dikhuatiri akan menyakiti hati pekerja gig yang ada di Malaysia.

Tambahnya, sekiranya ia tidak ditangguhkan, MTUC akan membawa perkara ini ke persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa di Geneva yang bakal berlangsung 1 Jun ini.

“Kalau kerajaan tidak mendengar pendirian dan rayuan kita, mungkin MTUC akan bawa perkara ini ke Pertubuhan Buruh Antarabangsa. 

“Apa pun kita masih lagi berharap kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kira keresahan pekerja gig pada hari ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Abdul Hakim Abdul Rani mempersoalkan definisi pekerja di dalam Akta 872 yang diluluskan di Parlimen itu.

“Kita lihat dalam isu definisi pekerja gig ini ada memberi pengiktirafan kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap. 

“Ini antara salah satu perkara yang kami kira kritikal perlu pihak KESUMA perhalusi semula.

“Apabila memberi pengiktirafan kepada pemastautin tetap, secara automatiknya akan berlakunya lambakan pemandu dan penghantar,” katanya.

Beliau berkata, apabila keadaan tersebut berlaku ia akan mewujudkan ketidakstabilan kepada konsep permintaan dan penawaran yang akhirnya menyebabkan pendapatan rakan pemandu dan penghantar terjejas.

Selain itu katanya, tafsiran definisi pekerja gig berkait pemastautin tetap juga menyebabkan berlakunya pertindihan bidang kuasa di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 hanya memberi kebenaran kepada warganegara Malaysia untuk berkecimpung di dalam sektor e-hailing dan p-hailing sebagai rakan pemandu dan rakan penghantar.

“Bagaimanapun apabila Akta 872 ini memberi pengiktirafan kepada pemastautin tetap, akan berlakunya pertindihan akta dan menyebabkan masalah di kemudian hari seperti daripada segi penguatkuasaan,” katanya.

Pada 28 Ogos tahun lalu, sektor ekonomi gig melakar sejarah baharu apabila Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, selepas tujuh tahun penggubalannya dilaksanakan.

RUU ini membolehkan lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini mendapat hak berunding gaji dan syarat kerja itu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan