KERAJAAN hari ini menafikan sekeras-kerasnya laporan media antarabangsa, Bloomberg bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguh pendedahan hasil siasatan terhadap Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, prosiding telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Prosiding ini mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsul Azri berkata, sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap Bloomberg terkait dengan dakwaan yang berkenaan.
Media semalam melaporkan, Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Anwar meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam.
Sebelum ini, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam diketuai Shamsul Azri.
Azam dan SPRM sebelum ini menafikan sebarang salah laku berkaitan dakwaan tersebut. — Edisi 9

