BARISAN Nasional (BN) sah menyertai kerajaan baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas seorang wakilnya berada dalam barisan Jemaah Menteri Sabah yang mengangkap sumpah di Istana Seri Kinabalu hari ini.
ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin telah dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pelantikan itu sekali gus bertolak belakang dengan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang menegaskan tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru lalu.
Dalam pada itu, tiga pucuk pimpinan parti GRS dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri,
Mereka ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.
Dr Joachim turut mengetuai Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, manakala Masidi akan meneruskan portfolio terdahulu sebagai Menteri Kewangan dalam pentadbiran negeri baharu.
Ewon pula akan mengetuai Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Perdagangan.
Turut dilantik satu-satunya calon Pakatan Harapan (PH) yang menang iaitu ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar.
Berikut senarai Jemaah Menteri Sabah yang baharu:
Ketua Menteri – Datuk Seri Hajiji Noor (GRS)
Timbalan Ketua Menteri I / Menteri Kerja Raya dan Utiliti – Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS)
Timbalan Ketua Menteri II / Menteri Kewangan – Datuk Seri Masidi Manjun (GRS)
Timbalan Ketua Menteri III / Menteri Perindustrian, Keusahawan dan Pengangkutan – Datuk Ewon Benedick (UPKO)
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan – Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (GRS)
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan – Datuk Jamawi Jaafar (PH)
Kementerian Pembangunan Luar Bandar – Datuk Rubin Balang (GRS)
Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi – Datuk James Ratib (GRS)
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar – Datuk Jafry Ariffin (BN)
Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Komuniti – Datuk Julita Mojungki (GRS)
Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif – Nizam Abu Bakar Titingan.
Dalam PRN Sabah Ke-17 Sabtu lalu, GRS memenangi 29 kerusi, BN (6), UPKO (3) dan PH (1) untuk membentuk blok kerajaan.

