Monday, July 20, 2026

SPR nafi tidak telus, hantar petisyen jika tidak berpuas hati

Petisyen pilihan raya boleh dikemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya diwartakan oleh SPR.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial konon berlaku ketidaktelusan dalam melaksanakan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang selesai berlangsung Sabtu lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus menegaskan, segala urusan pengundian, pengiraan, penjumlahan dan pengisytiharan keputusan telah dilaksanakan dengan penuh integriti dan telus serta mematuhi semua prosedur dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Beliau berkata, proses tersebut juga dipantau oleh semua parti politik, kumpulan pemerhati dan individu yang mengambil bahagian dan dilantik dalam PRN tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang pertikaian berhubung proses dan keputusan PRN Sabah boleh dikemukakan melalui petisyen pilihan raya.

“Sebarang pertikaian mengenai proses atau keputusan pilihan raya yang dilaksanakan sepanjang PRN Sabah ke-17 hendaklah dikemukakan melalui petisyen pilihan raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya diwartakan oleh SPR kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Proses penjumlahan undi PRN Sabah Ke-17.

Sebelum ini tular dalam media sosial tentang kekecohan kerana dakwaan wujud ketidaktelusan SPR dalam proses pengiraan undi bagi kerusi N58 Lamag dalam PRN Sabah Sabtu lalu.

Keputusan di Lamag menyaksikan Datuk Seri Bung Moktar Radin menang dengan majoriti hanya 153 undi mengatasi calon Bebas, Mohd Ismail Ayub.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah memperoleh 3,908 undi manakala Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai MIHA mendapat 3,755 undi.

Dalam pada itu SPR merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pengundi di Sabah yang menunaikan tanggungjawab masing-masing sehingga kesemua keputusan diisytiharkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Khairul Shahril berkata, SPR juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan PRN Sabah kali ini.

Antaranya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pendidikan
Malaysia.

Turut memainkan peranan ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi, Majlis Keselamatan Negara (MKN),
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pihak Berkuasa Tempatan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB serta petugas-petugas media. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan