BARISAN Nasional (BN) sebaiknya kekal sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bersama-sama Warisan dan Perikatan Nasional (PN).
Pandangan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Akmal Saleh hari ini.
Beliau berkata, BN boleh menjadi pembangkang yang kuat untuk membawa isu rakyat dan sentiasa mengimbangi apa yang kerajaan negeri lakukan.
“Rakyat nak kita jadi pembangkang sebab nak lihat kita berubah dengan lebih baik.
“Kita terima kekalahan secara bermaruah dan kita perbaiki kelemahan kita. Baru rakyat boleh yakin dan kita kembali di hati rakyat,” katanya hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru lalu, akan juga berlaku di peringkat Pusat.
“Dengar suara rakyat, insya-Allah rakyat (akan) kembali percaya kepada kita (BN),” katanya.
Dalam PRN Sabah Sabtu lalu, BN hanya memenangi enam kerusi daripada 45 kerusi yang ditandingi parti itu.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor berjaya memenangi kerusi terbanyak iaitu 29 kerusi, mengatasi Warisan (25).
Sebelum ini, pelbagai pihak menolak penyertaan (BN) dalam kerajaan baharu Sabah yang dibentuk selepas PRN Sabah Sabtu lalu.
Antara yang membantah ialah Pemuda dan Wanita GRS serta Pemuda dan Wanita UPKO. – Edisi 9

