
SENTIMEN sokongan kepada parti-parti ‘lokal’ mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 sekali gus menolak parti ‘Malaya’ yang dianggap sebagai orang luar.
Ini terbukti apabila majoriti pengundi memilih dua parti tempatan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti Warisan.
Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi nasihat bahawa negara tidak akan maju sekiranya kerajaan yang dibentuk terus memainkan sentimen kenegerian dan daerah.
Namun nasihat tersebut tidak dipedulikan oleh rakyat Sabah yang menolak parti-parti Semenanjung baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) apatah lagi Perikatan Nasional (PN).
Berdasarkan keputusan rasmi, GRS menang sebanyak 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan diikuti oleh Warisan dengan 25 kerusi.
BN yang hanya memenangi enam daripada 45 kerusi yang ditandingi dapat menarik nafas lega kerana parti itu tidak ditolak sama sekali oleh rakyat Sabah.
Bahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap “parti itu terus menjadi salah satu blok politik penting dalam landskap politik Sabah.”
PH yang diterajui oleh Anwar lebih malang apabila hanya mampu memenangi satu kerusi malahan lapan kerusi ditandingi DAP ditolak sama sekali oleh pengundi negeri itu.
Nasib yang sama turut dihadapi oleh PN apabila mereka hanya menang satu kerusi di DUN Karambunai di bawah parti Pas sementara calon-calon dari Bersatu berguguran.
Isu roti Gardenia nyata membawa kesan besar kepada pengundi Sabah sehinggakan Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee turut kecundang di Sugut. Malahan sebahagian besar calon PN hilang deposit.
Kemenangan Datuk Aliakhbar Gulasan di Karambunai sudah cukup bagi Pas membuka akaun pertamanya di Sabah. Tidak hairanlah Pas meraikan kemenangan tersebut seolah-olah mereka sudah menumbangkan satu negeri.
Kejutan paling besar dalam PRN Sabah kali ini apabila kesemua lapan wakil DAP yang bertanding atas tiket PH tewas. Kekalahan DAP itu menimbulkan pertanyaan apakah yang menjadi punca parti itu ditolak oleh pengundi Sabah, termasuk pengundi Cina?
Kesimpulannya, dalam PRN Sabah Ke-17, rakyat negeri itu menghantar satu memorandum yang jelas bahawa kali ini biarlah parti dari Sabah yang mengurus dan mentadbir negeri. Sabah untuk orang Sabah!
Ini kerana mereka bagai sudah muak dengan kemunduran dengan puluhan tahun di bawah parti Malaya, tetapi isu jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemiskinan dan 1001 masalah lain gagal diselesaikan.
Jadi biarlah kali ini masa depan Sabah dipikul oleh ‘Sabahan’ dari parti anak-anak Sabah dan sentimen itu dituangkan di kertas undi! — Edisi 9

