PENGERUSI Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua, awal pagi ini.
Hajiji yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu kira-kira 3.05 pagi ini.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi menyaksikan Hajiji menandatangani dokumen berkaitan.
Berdasarkan keputusan rasmi, GRS mendahului pesaing dengan memperolehi 29 kerusi manakala pencabar terdekatnya iaitu parti Warisan memperoleh 25 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) enam kerusi, UPKO (3) dan STAR (2).
Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan kejayaan partinya sebagai kemenangan buat rakyat Sabah.
Menurutnya, sokongan yang diterjemah menerusi undi itu merupakan bukti sokongan jelas terhadap visi GRS dalam membawa masa depan Sabah yang lebih cerah.
“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda.
“Sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan kita telah menjadi pemangkin kepada kemenangan ini.
“Marilah kita meraikan kemenangan ini sebagai permulaan kepada sebuah bab baharu, yang dipenuhi dengan tujuan yang diperbaharui serta tekad bersama untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Hajiji mengulangi pendirian partinya yang komited untuk terus membawa perubahan terhadap negeri di bawah bayu itu menerusi agenda pembangunan yang holistik.
“Kita berusaha untuk menggerakkan pembangunan yang bermakna dan membina jambatan yang menyatukan, bukannya memisahkan.
“Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan SMJ 2.0, yang menumpukan kepada empat tonggak utama: Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper), dan Sabah Bersatu (Sabah United).
“Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu, dan memastikan setiap suara, walau sekecil mana sekalipun, didengari dan dihargai,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, sekarang merupakan waktu bagi menggarab segala aspek kerjasama termasuk dengan pihak lawan untuk menumpukan khidmat terhadap rakyat melalui semangat demokrasi. — Edisi 9

