KEJAYAAN Kerajaan MADANI hari ini adalah hasil kestabilan dasar, keberanian melaksanakan reformasi serta kepercayaan padu rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, di peringkat domestik, ekonomi negara terus diperkukuh melalui kemasukan pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan dan pelaksanaan agenda pertumbuhan yang inklusif bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Usaha ini bukan sekadar untuk mencatat pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan kesejahteraan rakyat diperkasa dan jurang ketidaksamaan dapat dirapatkan,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Anwar turut menegaskan, di peringkat antarabangsa, hubungan strategik yang dijalin antara kerajaan Malaysia dengan pelbagai negara serta kelompok kepimpinan dunia telah membuka ruang pelaburan strategik bernilai tinggi.
Katanya, pendekatan diplomasi ekonomi yang proaktif itu bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pelabur, malah memperteguh kedudukan serta imej Malaysia di mata dunia.
“Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu hingga jaminan masa depan negara yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyatakan keyakinan bahawa dengan sokongan padu keluarga, sahabat serta seluruh rakyat Malaysia, Kerajaan MADANI akan terus melangkah ke hadapan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Kerajaan MADANI akan terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan integriti demi membina sebuah negara yang adil, makmur serta berdaya saing untuk semua,” katanya. — Edisi 9

