GEMPA bumi dengan magnitud 6.4 melanda di perairan Pacitan, Jawa Timur menggegarkan wilayah pesisir selatan Jawa pukul 1.10 pagi waktu tempatan (2.10 pagi waktu Malaysia) hari ini.
Agensi berita Antara melaporkan, gegaran dirasakan hampir seluruh daerah Jawa Timur mulai dari Tulungagung sehingga ke Surabaya, Jember dan Banyuwangi di Jawa Timur serta Yogyakarta dan Sleman di Jaa Tengah.
Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia merekodkan gempa itu berpusat di kedudukan 8.89 Lintang Selatan dan 111.8 Bujur Timur.
Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Trenggalek Triadi Atmono berkata, berdasarkan laporan rasmi BMKG, pusat gempa berada kira-kira 90 kilometer di tenggara perairan Kabupaten Pacitan dengan kedalaman 10 kilometer.
“Maklumat yang kami terima dari BMKG, gempa berlaku di laut dengan kedalaman cetek,” katanya.
Bagaimanapun, kejadian gempa itu tidak berpotensi berlaku tsunami.
Sehingga kini, BPBD tidak menerima lapoan berhubung kemalangan jiwa namun banyak bangunan mengalami kerosakan.
Namun begitu, gegaran akibat gempa itu mengejutkan para penduduk sehingga menimbulkan panik dan sebahagian mereka keluar dari rumah bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.
“Pada masa kini kami masih memantau perkembangan di kawasan terlibat termasuk kesan sampingan. Kai juga berharap tidak berlaku gempa susulan,” katanya. — Agensi

