MALAYSIA akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) sebagai kesiapsiagaan bantuan kemanusiaan ke Filipina yang dilanda gempa bumi malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan seramai 77 anggota itu akan bertolak ke lokasi bencana pada pukul 9 pagi esok.
Beliau berkata, pasukan tersebut dilengkapi dengan peralatan Urban Search and Rescue (USAR), sistem komunikasi, perubatan kecemasan, K9 Unit dan kenderaan logistik.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya melihat langkah ini dapat menzahirkan komitmen Malaysia terhadap solidariti serantau ASEAN serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat digerakkan segera demi menyelamatkan nyawa dan memulihkan kehidupan mangsa bencana di negara tersebut.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar rakyat Filipina terus dikurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan Ilahi dalam menghadapi ujian besar ini.
“Semoga setiap usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan, setiap mangsa yang terjejas mendapat pembelaan, dan negara Filipina kembali pulih dan membina semula kehidupan rakyatnya yang terjejas akibat gempa bumi yang berlaku,” katanya menerusi media sosial hari ini.
Gempa bumi dengan kekuatan 6.9 magnitud telah menggegarkan wilayah Cebu di tengah Filipina kira-kira pukul 9.59 malam tadi.
Gegaran kuat tersebut telah meragut puluhan nyawa, mencederakan ratusan mangsa serta menjejaskan kehidupan jutaan penduduk di wilayah yang terlibat.
Laporan awal menunjukkan kerosakan infrastruktur yang amat serius, termasuk runtuhan separa dan kerosakan pada bangunan kediaman serta komersial.
Malah, Archdiocesan Shrine of Santa Rosa de Lima di Daanbantayan, sebuah struktur bersejarah berusia ratusan tahun, turut mengalami keruntuhan separa.
Gangguan bekalan elektrik juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan manakala jalan raya, jambatan dan infrastruktur kritikal lain turut rosak teruk dengan anggaran awal nilai kerosakan keseluruhan mencecah USD45.7 bilion.
Difahamkan gegaran turut dirasakan oleh sebahagian penduduk di Sandakan, Sabah namun tiada kerosakan atau kemalangan jiwa berlaku.
Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tersebut, setakat ini. — Edisi 9

