Wednesday, July 22, 2026

Gempa di Segamat akibat pergerakan kerak bumi

Gempa bumi ini berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral, iaitu blok kerak bumi di utara sesar, bergerak ke arah barat manakala blok di selatan sesar, bergerak ke arah timur.

Mesti Baca

KEJADIAN gempa kecil yang berlaku di Segamat, Johor termasuk kejadian terbaharu semalam adalah akibat pergerakan kerak bumi dan bukan disebabkan oleh aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia berkata, ini kerana Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil, namun menerima pengaruh tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat
Sumatera.

Kata jabatan itu, tekanan tersebut berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar di Semenanjung Malaysia dan boleh menghasilkan gempa bumi bersaiz kecil hingga sederhana.

“Semakan awal peta seismotektonik menunjukkan pusat gempa Segamat berada berhampiran lanjutan Sesar Mersing yang berorientasi barat-barat laut hingga timur tenggara.

“Analisis awal seismologi mendapati gempa bumi ini berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral, iaitu blok kerak bumi di utara sesar, bergerak ke arah barat manakala blok di selatan sesar, bergerak ke arah timur.

“Kejadian ini menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar berkenaan. Kedalaman gempa cetek (±10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam,” kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan berlaku kejadian gempa bumi di Segamat pada pukul 8.59 pagi semalam dengan magnitud 3.2 Richter. Pusat gempa dianggarkan terletak kira-kira 18 kilometer di selatan Segamat.

Dua hari lalu para penduduk daerah itu dan sekitarnya turut mengalami gegaran akibat gempa dengan magnitud 4.1.

Berdasarkan rekod, Semenanjung Malaysia telah mengalami gempa bumi berskala kecil antaranya di Bukit Tinggi, Pahang; Kenyir, Terengganu; Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta Manjung–Temenggor, Perak.

Johor juga, kata jabatan itu, pernah mengalami gegaran kecil pada tahun 2021 dan 2023 yang berpunca daripada aktiviti seismik di luar pesisir Sumatera.

“Kesemua insiden, termasuk gempa di Segamat ini, menunjukkan plat benua Semenanjung masih menyimpan tenaga atau tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari semasa ke semasa dan menghasilkan pergerakkan bumi,” katanya.

Sehubungan itu, jabatan itu melakukan pemantauan seismik yang berterusan, pemetaan semula sesar, serta pembangunan sistem amaran awal perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dan melindungi infrastruktur sedia ada.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bersama MetMalaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus memperkasakan pemantauan dan analisis saintifik kawasan yang dijangka akan menerima ancaman risiko gempa bumi yang berlaku sama ada berpusat dalam negara atau daripada negara jiran.

Katanya, hasil pemantauan dan analisis akan diterjemahkan sebagai langkah kesiapsiagaan yang proaktif demi keselamatan rakyat, perlindungan infrastruktur dan pembangunan komuniti khususnya kawasan-kawasan yang terdedah kepada ancaman gempa bumi. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan