Tuesday, July 21, 2026

JMG gantung operasi tiga lombong gagal patuhi SKSPM

Hasil siasatan mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat ditetapkan melibatkan pelepasan efluen, kawalan hakisan dan sedimen serta pengurusan bahan kimia.

Mesti Baca

TIGA syarikat perlombongan di Hulu Perak dikenakan tindakan tegas apabila Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengeluarkan Perintah Penggantungan Operasi Sementara setelah didapati gagal mematuhi Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM).

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, syarikat terbabit melibatkan dua pengendali bijih timah iaitu Asiatic Mine Sdn. Bhd./Nalidah Tin Mine Sdn. Bhd. dan Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd., serta satu syarikat pengeluar Rare Earth Carbonate (REC), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak/MCRE Resources Sdn. Bhd.

Menurut NRES, tindakan itu susulan pemeriksaan dan pensampelan kualiti air di beberapa kawasan lombong ekoran aduan pencemaran di Sungai Rui, Sungai Kijang, Sungai Kepayang dan Sungai Perak.

“Hasil siasatan mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat ditetapkan melibatkan pelepasan efluen, kawalan hakisan dan sedimen serta pengurusan bahan kimia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu lagi, arahan penggantungan dibuat mengikut kuasa di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) dan akan hanya ditarik balik selepas semua langkah pembetulan serta penambahbaikan teknikal dilaksanakan dan disahkan oleh JMG.

NRES menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan industri perlombongan negara diurus secara bertanggungjawab, mampan dan beretika berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Tiada kompromi terhadap pelepasan efluen tidak dirawat. Pengendalian bahan kimia mesti selamat dan pematuhan peraturan keselamatan serta syarat kelulusan lesen adalah wajib,” tambah kenyataan itu.

Kerajaan turut menekankan kepentingan pematuhan Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016 yang mewajibkan air sisa dirawat sepenuhnya menggunakan teknologi moden termasuk pemantauan masa nyata sebelum dilepaskan ke sistem aliran setempat.

“Kesihatan sungai adalah indikator utama kelestarian industri mineral dan asas kepada keyakinan awam serta pelabur,” jelas NRES. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan