Tuesday, July 21, 2026

Pembinaan kafe di Gua Cenderawasih membimbangkan – JMG

Kawasan itu terbentuk daripada batu kapur Formasi Setul yang dianggarkan berusia lebih 480 juta tahun, sekali gus menjadikannya antara khazanah geologi tertua di negara ini.

Mesti Baca

TINDAKAN membangunkan fasiliti komersial seperti kafe di dalam Gua Cenderawasih, Bukit Lagi, Kangar, Perlis menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pakar dan pihak berkuasa berhubung pemuliharaan warisan geologi negara serta aspek keselamatan orang awam.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa gua berkenaan merupakan sebahagian daripada geotapak Bukit Lagi yang terletak dalam kawasan Perlis Geopark, dan memiliki nilai saintifik serta estetika yang tinggi.

Menurut JMG, kawasan itu terbentuk daripada batu kapur Formasi Setul yang dianggarkan berusia lebih 480 juta tahun, sekali gus menjadikannya antara khazanah geologi tertua di negara ini.

“Gua Cenderawasih bukan sahaja menempatkan pelbagai jenis fosil seperti nautiloid, gastropod dan brakiopod, malah menampilkan ciri geologi unik seperti takik laut purba, struktur batuan berbentuk cendawan dan tengkorak,” jelas kenyataan itu.

Tambah JMG, aktiviti seperti mengecat dinding gua, membina struktur kekal dan menutupi formasi geologi semula jadi termasuk fosil dan stromatolit, boleh merosakkan nilai saintifik tapak tersebut yang menjadi rujukan penting kepada saintis dalam dan luar negara.

Lebih membimbangkan, JMG mendedahkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana pengusaha mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung pembangunan atau pengoperasian kafe di dalam gua tersebut.

“Sebarang pembangunan fizikal seharusnya dirujuk kepada JMG menerusi Jawatankuasa One Stop Center (OSC) sebagai agensi teknikal berkaitan,” katanya.

JMG turut mengingatkan bahawa pembangunan di sekitar bukit batu kapur hendaklah berpandukan Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Bukit Batu Kapur yang telah dikeluarkan oleh jabatan itu bagi menjamin keselamatan pengunjung dan orang awam.

Sebagai agensi teknikal utama dalam pembangunan geopark di peringkat nasional, JMG komited memastikan segala aktiviti pembangunan di kawasan geotapak dilakukan secara berhemah, lestari dan berlandaskan prinsip ‘pembangunan tanpa kemusnahan’.

Dalam pada itu, JMG menyeru semua pihak agar menjadikan Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021–2030 (PPGN) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) yang diluluskan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara sebagai rujukan utama sebelum melaksanakan sebarang pembangunan di kawasan geopark, termasuk di Perlis.

“Pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari adalah tiga teras utama dalam konsep geopark. Segala pembangunan nilai tambah mesti selari dengan prinsip tersebut bagi menjamin kelestarian warisan negara untuk generasi akan datang,” kata kenyataan itu lagi.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan