27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Restoran dalam gua Batu Caves tiada permohonan JMG

Mesti Baca

OPERASI sebuah restoran di dalam gua di bukit Batu Caves, Taman Industri Bolton, Gombak didapati tidak mempunyai sebarang permohonan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) baik daripada pengusaha mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli berkata, sehubungan itu pihaknya tidak dapat mengulas daripada aspek teknikal berhubung kewujudan aktiviti perniagaan dalam gua batu kapur tersebut.

Beliau berkata, mengikut prosedur yang diamalkan dalam cadangan pembangunan fizikal, pihak pemaju perlu membuat permohonan pemajuan kawasan tersebut kepada PBT.

“PBT perlu memohon ulasan teknikal bagi permohonan cadangan pemajuan kepada JMG yang merupakan salah satu daripada Agensi Teknikal Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan orang ramai berhubung kewujudan sebuah restoran di dalam gua batu kapur tersebut sepertimana dilaporkan beberapa kali oleh media.

Antara isu yang diutarakan ialah soal keselamatan pengunjung premis, risiko berlaku bencana geologi, pemuliharaan fosil di tapak, status kebenaran operasi restoran dan risiko vandalisme.

Advertisements

Selain itu, kewujudan restoran tersebut dibimbangi menyebabkan gangguan biodiversiti endemik serta isu pemuliharaan dan kelestarian terhadap geotapak tersebut yang merupakan sebahagian daripada Gombak Hulu Langat Geopark.

Restoran tersebut mula beroperasi kira-kira setahun lalu dan sehingga kini menjadi tumpuan orang ramai kerana keunikannya.

Zamri berkata, sebarang pembangunan di kawasan kaki bukit batu kapur sepatutnya perlu merujuk kepada Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Bukit Batu Kapur yang dikeluarkan oleh JMG untuk menentukan zon keselamatan di sekitar bukit batu kapur tersebut.

Dalam konteks pembangunan geopark, beliau berkata, kesejahteraan masyarakat dan penjanaan ekonomi masyarakat setempat merupakan salah satu elemen yang dapat menambah nilai kepada sesuatu geopark.

Bagaimanapun, jelas beliau, aktiviti tambah nilai itu perlulah selari dengan konsep pembangunan geopark yang melibatkan tiga elemen penting iaitu pemuliharaan, pendidikan serta pembangunan secara lestari.

“Pihak JMG amat menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara yang telah diputuskan untuk dipakai ketika Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-42 diterjemahkan dalam setiap pembangunan geopark,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan