25.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

UPSI, Universitas Garut jalin usahasama antarabangsa

Mesti Baca

SERAMAI 17 mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini telah mengadakan kunjungan ke Universitas Garut (Uniga), Jawa Barat, Indonesia bagi mewujudkan usahasama antarabangsa bagi kedua-dua institusi pengajian tinggi itu.

Program UPSI Global Mobility Outbound itu diadakan pada 6 hingga 10 Mac lalu anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2022/2023 dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC) serta Persatuan Sains Sukan & Kejurulatihan (PSSK) UPSI.

Jurucakap MPP UPSI, Nur Khairunnisa Ezani berkata, program itu juga bagi memupuk komunikasi dua hala dan pembangunan holistik khususnya dalam bidang pendidikan melalui pelbagai pengisian aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan ialah Simposium Internasional Pendidikan membabitkan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril; Dekan Fakultas Pendidikan Islam & Keguruan (FPIK) Uniga, Dr Hilda Ainissyifa dan Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan, Universiti Fatoni, Thailand, Dr Suraiya Chapakiya.

“Selain itu, mahasiswa UPSI juga berpeluang untuk mengikut sesi kelas secara bersemuka bersama pensyarah Uniga dan begitu juga dengan mahasiswa Uniga yang telah mengikut kelas bersama Pensyarah UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah.

Mahasiswa UPSI yang mengikuti program UPSI Global Mobility Outbound di Universitas Garut baru-baru ini.

“Di samping itu, MPP UPSI turut berpeluang untuk membentangkan pencapaian 300 Pelaksanaan Kepimpinan MPP UPSI bersama dengan Perwakilan Badan Eksekutif Mahasiswa FPIK Uniga,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, sempena program tersebut delegasi UPSI turut berpeluang berkunjung ke Sekolah Prima Insani untuk menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersama murid-murid menggunakan Bahan Bantu Mengajar yang diperbuat daripada bahan kitar semula.

Advertisements

Di samping itu, pihak UPSI dan Sekolah Prima Insani turut menandatangani kerjasama UPSI Prima Insani dengan Sekolah Dasar (SD) IT Atimu demi menjalinkan kolaborasi pada masa akan datang.

Bagi mengeratkan lagi hubungan UPSI, Uniga acara sukan iaitu bola tampar dan futsal turut dianjurkan membabitkan delegasi UPSI dan mahasiswa Uniga.

“Melalui sukan olahraga ini, mahasiswa UPSI dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat dan mesra bersama mahasiswa UNIGA di samping dapat memperluaskan jalinan hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Program UPSI Global Mobility Outbound turut menggalakkan delegasi mengikuti kegiatan fizikal iaitu mendaki Gunung Papandayan serta pelancongan agro.

Melalui kegiatan seperti ini, katanya, mahasiswa UPSI dilatih untuk lebih bersedia dan mapan dari segi BITARA iaitu konsep yang menjadi landasan UPSI demi memacu kejayaan yang lebih cemerlang bukan sahaja pada peringkat nasional malah antarabangsa juga.

“Kerjasama kedua-dua universiti pendidikan terkemuka ini pasti dapat merealisasikan kerjasama seperti mobiliti pensyarah dan pelajar, pelantikan profesor adjung.

“Selain itu, ia dapat mempromosikan budaya UPSI, memperkukuh kolaborasi seni silang budaya dan terutamanya menjalinkan kolaborasi demi membantu usaha merealisasikan visi pendidikan standard bagi UPSI dan Uniga,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan