AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya melupuskan dadah seberat 26 kilogram bernilai RM1.04 juta menggunakan kaedah insinerator di Tanjung Minyak, Melaka semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kaptem Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pelupusan dadah jenis Methamphetamine itu dilakukan selepas pihaknya menerima perintah rasmi mahkamah untuk dilucut hak setelah kes berkenaan selesai dibicarakan.
Beliau berkata, dadah-dadah tersebut adalah hasil rampasan yang dilakukan oleh Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan pada tahun 2022.
“Proses pelupusan dadah ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui insinerator yang diuruskan oleh Medivest Sdn. Bhd.
“Kaedah ini telah dipilih kerana ia merupakan salah satu cara yang selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah yang dirampas tanpa mencemari alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Hadir menyaksikan pelupusan ini, Timbalan Pengarah Negeri (Operasi), Komander Maritim Norrimi Hassan; Timbalan Pengarah Negeri (Pengurusan), Raja Noorazmi Raja Ismail dan Pengurus Kanan Sisa Penjagaan Kesihatan Medivest, Nadiratul Noziana Abd Majid. – Edisi 9