29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Projek ECRL tetap utamakan kesejahteraan rakyat Selangor

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Saudara Pengarang

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer (km) dianggarkan menelan belanja sebanyak RM50.27 bilion membabitkan jajaran empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek tersebut telah dimulakan sejak tahun 2017, namun ia terhenti seketika pada Julai 2018 dan disambung semula pada April 2019.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Nazli Aziz berpendapat bahawa ECRL bakal mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa pelbagai limpahan manfaat.

Projek tersebut mampu menyingkatkan perjalanan daripada Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor dalam tempoh masa empat jam sahaja.

Perubahan landskap tersebut bakal membuka peluang dan ruang untuk industri pelancongan. Bilangan pelancong yang bertambah boleh dimanfaatkan dengan mencipta peluang pekerjaan baharu serta pembangunan keusahawanan kepada masyarakat tempatan.

Di sebalik kesan positif yang bakal dicipta oleh Projek ECRL, pembinaan projek tersebut menghadapi beberapa kekangan.

Bantahan penduduk Sungai Sireh, Klang berhubung pembinaan jajaran ECRL yang melalui kawasan kampung mereka baru-baru ini. – Foto Ihsan Kosmo!

Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, ECRL yang melibatkan jajaran Selangor disifatkan sebagai paling kritikal berbanding tiga negeri lain kerana melibatkan pelbagai jenis pembinaan selain jambatan dan terowong.

Jajaran ECRL melibatkan Negeri Selangor telah mengalami perubahan sebanyak tiga kali (2017, 2019 dan 2020).

Kerajaan Negeri Selangor terpaksa melakukan pelan mitigasi terhadap cadangan jajaran ECRL untuk mengurangkan kesan impak sosial dan alam sekitar.

Pelan jajaran ECRL 2020 dianggap yang paling baik kerana telah mengambil kira perkara-perkara berkaitan pengambilan Tanah Rezab Melayu, penempatan Orang Asli, Hutan Simpan Kekal, kawasan-kawasan sensitif seperti tanah gambut dan cerun.

Advertisements

Namun tidak dapat dinafikan bahawa dalam usaha perlaksanaan ECRL terdapat kawasan penempatan rakyat Negeri Selangor yang terpaksa dikorbankan, selepas pertimbangan sedalamnya.

Kampung Bunga Raya Subang dan Kampung Desa Mukmin Warisan Gombak adalah antara kawasan di mana penduduknya terpaksa dipindahkan demi memberi laluan kepada Projek ECRL.

Namun pemindahan penduduk di kawasan penempatan tersebut dilakukan secara perundingan panjang dan disertakan pampasan yang berpatutan.

Pemindahan penduduk dari kawasan berkenaan tidak mendapat halangan daripada badan judisiari di Malaysia kerana semenjak awal tanah untuk kawasan penempatan tersebut tidak tergolong dalam kawasan yang diwartakan (Tanah Rezab Melayu, penempatan Orang Asli, Hutan Simpan Kekal).

Tanah untuk kawasan Kampung Bunga Raya Subang secara sahnya adalah milik pemaju Dania Emas (M) Sdn. Bhd., manakala tanah untuk kawasan Kampung Desa Mukmin Warisan Gombak adalah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Tiada niat Kerajaan Negeri Selangor ingin menganiaya penduduk yang terkesan akibat pembangunan Projek ECRL.

Janji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam isu tersebut adalah kerajaan negeri menawarkan penyelesaian terbaik menang-menang kepada penduduk termasuk menggantikan rumah mereka yang terbabit dengan projek tersebut.

Perkara ini telah dilakukan semenjak tahun 2023 di mana Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah mengisytiharkan bahawa penduduk Kampung Desa Mukmin Warisan Gombak akan menerima ex-gratia dan tawaran rumah Rumah Selangorku (RSKU).

Penduduk Kampung Bunga Raya Subang pula telah ditawarkan RSKU dan kediaman di bawah Skim Smart Sewa Selangor.

Sesungguhnya kerajaan Negeri Selangor bukanlah kerajaan terbaik, namun usaha dan niat kerajaan ini tidak pernah cuba untuk menyusahkan atau menindas rakyat.


DR MOHD FAUZI FADZIL
Timbalan Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Selangor

Advertisements

Terkini

Malaysia negara pertama terima visa haji – Mohd Na’im

MALAYSIA menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini. Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan