30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Berundurlah Zahid, ambillah tanggungjawab!

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Saudara Pengarang.

Barisan Nasional (BN) kalah lagi. Kali ini dalam enam pilihan raya negeri. Daripada 108 kerusi yang dipertandingkan BN hanya menang 19 kerusi.

Paling teruk dirasakan di Terengganu apabila parti lawan menguasai 100 peratus kerusi yang dipertandingkan.

Benar Pakatan Harapan dan BN (PH-BN) berjaya membentuk kerajaan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan namun ia hasil kemenangan parti-parti dalam PH, bukannya BN.

Zahid Hamidi tak usah mendabik dada dengan kemenangan PH-BN di tiga negeri itu sedangkan kerusi BN hanya menang beberapa kerusi sahaja.

Di Selangor, BN hanya menang di dua kerusi, begitu juga di Pulau Pinang manakala di Negeri Sembilan, menang 14 kerusi.

Di Kelantan, BN hanya berjaya mempertahankan kerusi Galas sementara di Terengganu, UMNO dan BN kalah ‘TKO’ dengan 32-0.

Sama ada orang UMNO sedar atau pura-pura tak sedar, rakyat khususnya pengundi telah menghantar isyarat jelas agar Zahid berundur daripada kerusi Presiden.

Isyarat itu bukan sahaja datangnya daripada kalangan orang Melayu yang cintakan UMNO sebagai sebuah parti keramat bangsa, tetapi juga dalam kalangan ahli UMNO sendiri.

Selama ini UMNO mendabik dada konon parti itu mempunyai 3.5 juta ahli, namun melihat kemerosotan sokongan yang teruk diterima BN baik dalam PRU-15 lalu atau dalam PRN enam negeri semalam, jelas mereka juga menolak parti sendiri.

Usaha ahli-ahli UMNO untuk menolak Zahid dalam Pemilihan Agung UMNO lalu gagal apabila jawatan itu direkayasa sehingga ia tidak dipertandingkan.

Advertisements

Atas sebab itulah, mereka menggunakan peti undi PRN ini sebagai tempat bagi mereka memberikan isyarat tersebut.

Persetan dengan pandangan bahawa kemenangan besar Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana sogokan kerana — jika ada pun — ia bukanlah sebab itu kekalahan teruk BN.

Di Terengganu, rakyat bukan hanya memberi isyarat kepada Zahid tetapi juga kepada Ahmad Said. Ditolak rakyat dalam PRU-15 di Parlimen Kemaman, kali ini tumbang pula di DUN Kijal.

Zahid dan Ahmad perlu mengambil tanggungjawab dengan kekalahan demi kekalahan dalam siri pilihan raya ini. Begitu juga pucuk pimpinan UMNO di Kedah dan Kelantan.

Jadilah seorang pemimpin gentleman seperti mana dilakukan Najib yang mengundur diri apabila BN tumbang buat kali pertama dalam sejarah politik negara pada 2018.

Benar, Zahid adalah pemimpin yang berani mengambil risiko dengan mengambil alih pucuk pimpinan parti dalam keadaan UMNO tewas dan hilang kuasa.

Benar, Zahid adalah pemimpin yang mempertahankan parti itu daripada dimamah oleh desakan Mahathir agar membubarkan UMNO.

Namun, kini Zahid sudah dilihat sebagai liabiliti kepada parti apabila mengambil langkah bekerjasama dengan Anwar dan DAP dalam PH.

Apatah lagi kini Zahid, seorang presiden parti yang terbesar di Malaysia seolah-olah tunduk di tangan Anwar. Malahan orang UMNO kini semakin meluat melihat cara beliau ‘menjilat’ Anwar.

Tidak cukup dengan itu Menara Dato Onn dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang merupakan ‘rumah UMNO’ kini seolah-olah sudah menjadi ‘rumah Anwar’.

Rakyat dan ahli-ahli di peringkat akar umbi, yang tidak berjawatan dalam parti melihat dan memerhati. Kini ketidakpuasan hati mereka dituangkan pada kertas undi.

Apakah mereka ini pengkhianat UMNO? Tidak… mereka sayangkan parti, mereka tetap cintakan UMNO cuma mereka benci dengan pimpinan parti yang hanya berjuang mempertahankan tembolok sendiri daripada hati dan perasaan akar umbi.

AYAH PIN
Dungun, Terengganu

Advertisements

Terkini

Bekas kakitangan Utusan dapat persetujuan Mahkamah Persekutuan

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan