Saudara Pengarang
MESEJ utama yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan khutbah Jumaat di Islamic Cultural Center of New York (ICCNY) baru-baru ini adalah berkenaan pentingnya umat Islam untuk kembali kepada konsep Ummatan Wasatan dan menjadikan masyarakat Madinah pada zaman Rasulullah SAW sebagai panduan ke arah masyarakat yang cemerlang.
Model keunggulan Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW yang menjadi rujukan Perdana Menteri adalah berdasarkan keupayaan mereka untuk menjadikan Madinah sebagai pusat utama perkembangan Islam.
Masyarakat tersebut membina dan mengimarahkan masjid atas asas taqwa, berdaya maju, aktif dan bersemangat.
Masyarakat Muslim pada hari ini dilihat mempunyai ciri fizikal yang tidak jauh bezanya berbanding masyarakat Madinah ketika zaman Rasulullah SAW.
Perdana Menteri percaya walaupun umat Islam dalam jumlah yang kecil, walau di mana berada mampu berperanan cemerlang selagi mereka kembali kepada konsep Ummatan Wasatan.
Malaysia mampu untuk menjadi pemangkin dan model kepada pembinaan tamadun dan kesejahteraan seiring dengan konsep Madani yang turut disentuh oleh Anwar dalam khutbah tersebut.
Perdana Menteri mengingatkan umat Islam pada hari ini supaya sentiasa bersiap sedia, tidak boleh lalai, tidak boleh lemah, dan tidak boleh alpa.
Kejayaan yang dikecapi oleh masyarakat Madinah pada zaman Rasulullah SAW dalam bidang ekonomi dan pendidikan tidak menjadikan mereka alpa kerana ia ditunjangi oleh asas aqidah dan nilai moral.
Masyarakat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada pembinaan masyarakat Madinah yang cemerlang, kejayaan yang tidak dipasakkan dengan asas yang kukuh bakal membuai kita ke arah kelekaan.
Idea Malaysia Madani yang digagaskan oleh Anwar adalah usaha beliau untuk membawa Malaysia untuk kembali mencontohi ciri-ciri yang dimiliki oleh masyarakat Madinah pada khususnya yang dizahirkan melalui ketokohan Rasulullah SAW.
Anwar percaya bahawa masyarakat Madinah sebagai par excellence di mana kecemerlangan mereka tiada tolok bandingan, tiada model lain yang harus dicontohi oleh rakyat negara ini untuk mencapai kecemerlangan selain model masyarakat Madinah pada zaman Rasulullah SAW.
Justeru sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini sepatutnya menjadi dorongan kepada kita semua membangunkan Malaysia Madani.
MOHD. FAUZI FADZIL
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan
Majlis Belia Malaysia